KALAU pagi dah sampai di kawasan Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur, lokasi pilihan untuk menyorok adalah Restoran D’ Ganu Kitchen. Orang Terengganu tentu tahu restoran ni.
Kalau tak silap alamatnya No 6, Jalan Chow Kit Kiri, Chow Kit. Lebih mudah naik LRT turun di Stesen PWTC. Keluar dari stesen ambil kanan, turun tangga ke arah Sungai Gombak, maka nampaklah kerusi meja restoran tu. Kira ikut jalan belakang tepi sungai. Jika ikut pintu depan, di hujung jalan atau lorong tu ada parkir berbayar.
Baru-baru ni, kebetulan berlangsung Perhimpunan Agung UMNO (PAU), sempat singgah di situ. Punyalah ramai pelanggan. Pastinya orang UMNO.
Selepas order nasi dagang dan pilih lauk, kemudian ambil tempat duduk, pelayan pun tak terlayan bertanya nak minum apa. Tak salahkan mereka. Memang sibuk hari tu tak seperti hari-hari biasa. Biarlah rezeki masuk baik hari tu.
Akhirnya sampai ke sudah makan saja. Mujur ada air mineral dalam beg. Tak apa tak minum air panas, sebab selepas itu, masuk bertugas di Laman Media PAU, akan tersedia teh tarik atau nescafe tarik.
Di sini sekadar untuk menyorok (sarapan pagi) macam-macam ada – ringan atau berat. Banyak makanan asli Terengganu yang sudah tentu kena dengan selera atau tekak orang Pantai Timur.
Nasi dagang adalah menu wajib. Selain itu, ada nasi minyak, nasi kerabu, nasi lemak, pulut kuning dan tidak ketinggalan roti canai serta pelbagai jenis kuih muih. Harganya berpatutan. Silalah cuba. Sedap atau tidak bergantung tekak masing-masing.
Nn