Teresa timbulkan kontroversi tak relevan

SEREMBAN 8 Sept. – Kenyataan Naib Pengerusi DAP, Teresa Kok dalam isu pensijilan halal tidak mewakili pendirian Pakatan Harapan (PH), kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Pengerusi PH berkata, kenyataan Ahli Parlimen Seputeh itu antara lain mencetuskan kontroversi yang tidak relevan kepada masyarakat di negara ini.

Justeru beliau menasihati mana-mana pemimpin politik mengemukakan sebarang cadangan atau kebimbangan mengenai sesuatu perkara dalam mesyuarat supaya perkara itu boleh diteliti secara menyeluruh.

“Tak payah jadi begini kerana ini menimbulkan kontroversi yang tidak relevan dalam masyarakat kita.

“Ada masalah… peraturan perlu supaya umat Islam tidak rasa was-was. Namun kalau dia (Teresa) rasakan peraturan itu tidak diperlukan di kawasan tertentu, bincanglah secara elok,” katanya selepas merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah selatan) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dilapor mempertimbangkan cadangan untuk mewajibkan pensijilan halal bagi restoran dan syarikat makanan yang tidak menyediakan hidangan daging babi dan alkohol.

Bagaimanapun, Teresa kemudian dilapor menyatakan cadangan itu berpotensi menambah beban kepada perniagaan termasuk melibatkan ribuan pengusaha restoran Melayu.

Teresa berkata, langkah itu bertentangan dengan semangat kepelbagaian budaya selain mungkin menjadikan Malaysia sebagai bahan ejekan di luar negara.

Anwar seterusnya berkata, Teresa tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang kenyataan yang disifatkan tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

“Kalau dia mahu mewakili beberapa pihak, tidak mengapa… tetapi tidak perlu (buat kenyataan sedemikian secara terbuka) kerana ia tidak membantu untuk menjernihkan keadaan.

“Kita kena jaga sentimen muslim dan bukan Islam. Cara dia (adalah) runding secara elok dahulu. Bukan tunjuk kehebatan masing-masing.

“Negara kita sudah dalam keadaan baik sekarang, politik sudah stabil, penghargaan dunia baik, ekonomi naik (justeru) perlu apa perkara ini nak merosakkan (keharmonian dan kesejahteraan negara),” katanya.

Related posts

Leave a Comment