Takiyuddin diarah tarik balik ‘munafik’

KUALA LUMPUR 21 Okt. – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Dr Johari Abdul, mengarahkan Ahli Parlimen Kota Bharu, Takiyuddin Hassan, menarik balik kenyataan beliau yang menggunakan perkataan ‘munafik’, selewat-lewatnya esok.

Johari berkata, keputusan berkenaan dibuat selepas beliau meneliti penyata rasmi persidangan (hansard), dan Takiyuddin boleh menarik balik kenyataan beliau itu sama ada dalam Dewan Rakyat atau melalui surat bertulis kepadanya.

“Saya sudah membaca hansard dan ini keputusan saya. Saya meminta Kota Bharu menarik balik perkataan diucapkannya, selewat-lewatnya esok,” katanya.

Beliau berkata demikian berikutan RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan peraturan mesyuarat susulan penggunaan perkataan ‘munafik’ oleh Takiyuddin ketika membahaskan Rang Undang-undang (RUU) Perbekalan 2027.

Pada sidang Dewan Rakyat, kelmarin, Takiyuddin memetik hadis mengenai ciri-ciri orang munafik dan menyentuh istilah ‘waad’ yang digunakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Belanjawan 2027, baru-baru ini.

Bagaimanapun, keputusan Johari itu mencetuskan bantahan beberapa Ahli Parlimen pembangkang, termasuk Datuk Awang Hashim (Pendang) dan Mohd Misbahul Munir Masduki (Parit Buntar).

Mohd Misbahul Munir berkata, beliau mempunyai salinan hansard dan mahu menjelaskan konteks kenyataan berkenaan, manakala Awang berhujah hadis yang dipetik Takiyuddin bersifat umum serta tidak ditujukan kepada mana-mana individu.

Bagaimanapun, Johari enggan membenarkan perbahasan lanjut berhubung perkara itu, dan menegaskan beliau tidak mahu isu berkenaan menjejaskan perjalanan sidang Dewan Rakyat.

“Saya tidak mahu andaian, saya mahu fakta. Jika tiada fakta, duduk,” katanya.

Beliau sekali gus menegaskan sebarang bantahan perlu dikemukakan mengikut proses serta saluran Parlimen yang sewajarnya, dan bukan terus diperdebatkan dalam dewan.

“Jangan cabar keputusan yang sudah saya buat. Ramai lagi yang mahu bercakap… saya mahu mendengar ucapan mereka,” katanya sebelum membenarkan persidangan diteruskan.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment