SINGGAH di Pavilion Kedah MAHA 2024 baru-baru ini ternampak Galeri Kopi ‘O’ Kampong. Malangnya malam tu kopi kehabisan stok. Ada minuman botol saja. Apa pun ia mengembalikan kenangan ‘menyorok’ di lokasi asalnya di Hutan Kampung, Alor Setar pada Julai tahun lalu.
Rasanya tidak banyak berubah. Mungkin menu bertambah. Ada kelainan ‘menyorok’ di sini. Terbayang kopi ‘O’ yang dimasak dalam cerek hitam di atas dapur kayu. Rasanya memang berbeza kerana aroma dapur kayu ini. Khabarnya kopi yang digunakan tulen tanpa campuran bahan lain.
Pemilik Kafe Kopi O Kampong, Ruslin Long. Masuk ke kafe ini kelihatan dekorasi kafe yang dipenuhi dengan barang lama.
Selepas order kopi ‘O’ panas, maka petugasnya akan hadir membawa cerek hitam, cawan beserta tin biskut ‘empat segi’. Senang cerita biskut Jacob. Kopi ‘O’ panas kena dengan biskut pun lega. Roti bakar juga dimasak menggunakan dapur kayu.
Menu yang sempat dilihat sebelum ini adalah pulut kelapa ikan masin, ubi kayu rebus, nasi lemak bungkus daun pisang, peknga @ lempeng, cucok kodoq serta pelbagai jenis kuih mueh tradisional.
Bagi yang berkunjung ke Alor Setar bolehlah singgah di sini. Cuma semak balik hari dan waktu dibuka. Jika tak silap tutup setiap hari Isnin dan Selasa.