PUTUSKAN COVID-19, SAMBUNGKAN SILATURAHIM

SYUKUR Alhamdulillah, kita dapat mengharungi Ramadan 1441 @ 2020 dalam suasana yang berbeza, norma baharu, lain daripada yang lain. Walaupun di luar kebiasaan – tidak dapat solat di masjid @ surau, tidak dapat iftar, iktikaf dan qiamullail di masjid tetapi tanggungjawab menunaikan salah satu Rukun Islam itu tetap terlaksana sehingga penghujungnya.

Sepanjang Ramadan kebanyakan rumah berubah suasananya. Seperti ungkapan rumah ku syurga ku. Kali ini, ketua keluarga yang selalunya menjadi makmum di masjid bertukar menjadi imam. 

Jika selama ini jarang membaca surah atau ayat al-Quran di dalam solat kerana sering menjadi makmum, kali ini terpaksa membacanya walaupun ayat yang ringkas dan mudah dibaca. Jika tahun-tahun lalu, juadah banyak dibeli di bazar Ramadan, kali ini lebih kepada keluaran dapur sendiri. 

Masa kita juga lebih banyak di rumah, terutama menjelang Aidilfitri. Kita tidak ke sana ke sini, ke sana ke sini membeli belah untuk persiapan hari raya. Tidak banyak masa terbuang di jalan raya atau lebuh raya untuk pulang ke kampung. Banyak lagi hikmah di sebalik terjahan Covid-19.

Itulah kelebihan di sebalik kekurangan Ramadan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kita hadapi sejak 18 Mac lalu. Tidak pasti apa kesudahannya tempoh PKP atau PKPB ini yang dijadualkan tamat pada 9 Jun ini. 

Apa yang pasti wabak ini masih jauh untuk menemui noktah. Itu pandangan pakar kesihatan yang lebih arif mengenai virus ini. Dalam erti kata lain, dalam tempoh terdekat ini hidup kita tidak akan kembali seperti dahulu. 

Kita perlu belajar mengamalkan norma baharu kehidupan. Ikutilah garis panduan atau SOP yang sering kali diperingatkan. Biarlah kali ini tidak dapat pulang berhari raya di kampung, asalkan kita tidak menjadi penyebar virus terhadap orang tua di kampung. Pastinya keluarga di kampung sudah mula memahami. 

Raikan Aidilfitri ini bersama keluarga di mana sahaja anda berada walaupun tidak semeriah tahun-tahun sebelumnya. Kunjung mengunjung masih dibenarkan tetapi hanya sehari, dalam jumlah keluarga yang terhad. Tetapi sekali lagi patuhilah peraturan yang ditetapkan.

Terserah kepada setiap individu bagaimana meraikan kemenangan melawan nafsu sepanjang Ramadan. Keputusan di tangan anda. Keselamatan dan kesihatan kita adalah tanggungjawab kita. Kita jaga kita. 

Ambillah pendekatan yang selamat untuk meraikan Aidilfitri ini sama ada dengan kenalan atau jiran terdekat. Jika dua bulan kita berkurung di rumah, tidak dapat ke masjid atau surau, tidak ada sebab kita tidak teruskan selagi ia mampu memutuskan rantaian Covid-19. 

Ibadah kita tidak terjejas hanya kerana tidak ke masjid. Begitu juga hubungan silaturahim juga tidak seharusnya terjejas hanya kerana tidak dapat berhari raya seperti kelazimannya, bersalam atau berpeluk ketika bertemu. Banyak kaedah yang boleh diguna untuk menyatakan kegembiraan menyambut Aidilfitri ini.

Justeru raikan kemeriahan Aidilfitri mengikut situasi semasa. Apa yang penting dalam usaha kita memutuskan rantaian Covid-19, jangan sesekali memutuskan rantaian silaturahim. Jika putus, sambungkan. Jika longgar, kukuhkan.

Hubungan silaturahim sesama sanak saudara, jiran tetangga dan sahabat handai perlu diperkukuhkan dengan cara yang dibenarkan. Teknologi yang ada hari ini  mampu mendekatkan yang jauh. Telefon pintar dan pelbagai aplikasi bukan sekadar merentas negeri tetapi mampu merentas dunia.

Raikan Syawal ini. Tetapi ingatlah ketika kita sedang meraikan kemenangan melawan hawa nafsu sepanjang Ramadan, perjuangan melawan Covid-19 masih belum berakhir. Kita belum menang dalam perang melawan Covid-19 tetapi kita jangan mudah mengaku kalah. Teruskan perjuangan dan pengorbanan kita.

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI.