SEREMBAN 8 Sept. – Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, berkata kadar tol mungkin boleh diturunkan jika kos pembangunan lebuh raya dapat dikawal, selain tidak berlakunya ketirisan dan rasuah.
Anwar berkata, kos pembangunan lebuh raya sebenarnya boleh dikurangkan namun meningkat disebabkan terlalu banyak bayaran yang dikeluarkan untuk proses kelulusan.
“Ini mesti dihentikan. Saya percaya Kementerian Kerja Raya, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk projek yang seterusnya, pastikan kelulusan disegerakan.
“Ini boleh berlaku kalau semua bertanggungjawab dan berasakan ini (projek lebuh raya) projek rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) lestari yang pertama di lebuh raya Malaysia di R&R Seremban (Arah Selatan) Lebuhraya Utara-Selatan, di Seremban hari ini.
Yang turut hadir, Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi dan timbalannya, Ahmad Maslan, Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi LLM, Hasni Mohammad.
Dalam pada itu, melaui hantaran di Facebooknya, Anwar berkata, keselesaan kepada rakyat bukan hanya meliputi infrastruktur dan fasiliti berkaitan perumahan tetapi juga terkait lebuh raya demi kemudahan pengguna sewaktu ke destinasi masing-masing.
“Saya tekankan kepentingan tersebut sewaktu menyempurnakan Majlis Perasmian Kawasan Rehat & Rawat (R&R) Seremban (Arah Selatan) sambil menggunakan kesempatan ini untuk melawat fasiliti yang disediakan.
Saya maklumkan bahawa tekad Kerajaan MADANI adalah bagi memastikan kepentingan rakyat termasuk hal keselesaan diutamakan ketika menggunakan fasiliti yang ada di lebuh raya,” katanya.
Anwar yang juga Menteri Kewangan percaya, R&R Seremban Arah Selatan ini yang mengaplikasikan konsep pembangunan lestari (hijau) menggunakan tenaga suria (solar) dan ‘rainwater harvesting’, dijangka dapat menjimatkan penggunaan elektrik dan air.
“Usai ucapan, saya singgah beramah mesra menyantuni pengunjung, peniaga dan staf operasi R&R selain melihat sendiri surau yang disediakan untuk kemudahan termasuk solat Jumaat seusai mendapat kelulusan pihak berwajib kelak,” katanya.
Nnn
