SEPANG 21 Okt . – Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, memohon supaya tidak ada lagi memasukkan wang ke dalam akaunnya sebagai sumbangan untuk membayar ganti rugi dan kos mahkamah berjumlah RM300,000.
Beliau berkata, hampir semua yang memasukkan duit ke dalam akaunnya bukan untuk membeli motor atau ikan tilapia tetapi ingin menyumbang kepadanya di mana jumlah terkumpul setakat perkongsian terkini di Facebooknya RM45,102.18.
“Mohon jangan masukkan lagi duit ke akaun saya agar saya tidak rasa bersalah dengan semua, saya sejujurnya tidak mahu menyusahkan mana-mana pihak untuk membantu saya kerana saya akan bertanggungjawab sepenuhnya
Tidak mengapa saya tanggung, saya hanya perlukan doa dari anda semua sahaja Jadi kepada sesiapa yang mahu membeli motor X-ADV saya,saya akan berikan perincian selepas ini dan boleh terus msg saya,” katanya.
Terdahulu dalam hantaran awal di Facebooknya, Dr Akmal menawarkan motosikal jenis Honda X-ADV dan ternakan ikan tilapia yang diusahakan untuk dibida penyokong dan rakan-rakan dalam usaha beliau mengumpul dana RM300,000.
Dr Akmal berkata, keputusan menjual aset itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya, termasuk simpanan sedia ada yang belum mencukupi untuk menjelaskan jumlah berkenaan.
Katanya, beliau menghargai cadangan orang ramai untuk membuka tabung bagi membantunya mengumpul sumbangan, namun beliau memilih untuk menjual aset miliknya terlebih dahulu.
“Sejujurnya juga, RM300,000 itu sangat besar bagi diri saya. Apabila dihitung segala simpanan yang ada, jumlahnya masih belum mencukupi. Namun, izinkan saya berusaha sendiri dahulu.
Saya tahu setiap sahabat juga mempunyai keluarga, tanggungan dan kesusahan masing-masing. Sebab itu, selagi masih ada milik saya yang boleh dilepaskan, izinkan saya mengusahakannya dahulu.
Saya menghormati keputusan mahkamah dan bersedia mematuhi perintah itu. Tanggungjawab menjelaskan jumlah itu akan saya pikul sepenuhnya,” katanya.
Dr Akmal berkata, keputusan menjual aset boleh alih itu dibuat selepas mengambil kira kemampuan kewangannya, termasuk simpanan sedia ada yang masih belum mencukupi untuk melunas jumlah berkenaan.
“Saya tidak mempunyai tanah atau rumah yang boleh dijual untuk mencukupkan jumlah ini. Kedua-duanya ada cerita, penat lelah dan kegembiraan yang tersendiri buat saya. Sebab itu, hendak menulis bahawa saya mahu menjualnya pun terasa berat.
“Berat hati hendak berpisah dengan sesuatu yang kita sayang. Namun, lebih berat hati saya jika terpaksa menyusahkan orang lain sedangkan masih ada milik sendiri yang boleh saya usahakan,” katanya.
Sebelum ini, beliau diperintahkan membayar ganti rugi keseluruhan RM300,000 kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, berhubung kes saman fitnah yang difailkan pada tahun 2024.
“Kepada sahabat yang mendoakan, terima kasih. Jangan rasa serba salah jika tidak dapat membeli atau membantu. Doa dan kata-kata semangat kalian pun sudah cukup besar maknanya buat saya.
“Doakan saya diberi kekuatan untuk melepaskan apa yang saya sayang, supaya tanggungjawab ini dapat saya selesaikan,” katanya.
Nnn
