PUTRAJAYA 21 Okt. – Harga runcit RON97 dan RON95 tanpa subsidi, masing-masing turun sebanyak 30 sen seliter, manakala harga runcit diesel tanpa subsidi turun 10 sen seliter bermula esok hingga 28 Oktober ini.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam kenyataan memaklumkan, harga runcit RON97 adalah RM4.80 seliter, RON95 (RM4.32) dan diesel (RM5.07).
Menurut MoF, walaupun harga minyak mentah Brent kekal melebihi AS$100 (RM408.20) satu tong, harga produk petroleum bertapis di pasaran serantau mula menyederhana dalam tempoh pengiraan Automatic Pricing Mechanism (APM).
Kenyataan itu berkata, penyusutan harga berkenaan didorong jangkaan peningkatan bekalan dari China, disokong pengeluaran berterusan dari negara Asia lain.
Paras harga minyak mentah yang kekal tinggi mencerminkan risiko gangguan bekalan susulan konflik geopolitik berterusan dan dalam jangka sederhana, harga petroleum dunia dijangka terus tidak menentu.
Kenyataan itu berkata, pada harga semasa, penerima BUDI MADANI RON95 (BUDI95) terus membayar RM1.99 seliter, berbanding harga RON95 tanpa subsidi RM4.32 seliter.
Menurut kenyataan itu lagi, harga petroleum bersubsidi dikekalkan adalah RON95 (BUDI95) iaitu RM1.99 seliter, Diesel (BUDI Diesel) (RM2.10 seliter), Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) (RM2.05 seliter) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), (RM2.15 seliter).
Nnnn
