JUMILLA, Sepanyol – Penggunaan kemudahan awam seperti pusat sivik dan gimnasium oleh umat Islam dilarang untuk menyambut perayaan agama seperti Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha.
Larangan yang dilaksanakan di Jumilla, wilayah Murcia itu, adalah yang pertama seumpamanya di Sepanyol.
Langkah itu diperkenalkan oleh Parti Rakyat (PP) yang berhaluan konservatif dan diluluskan dengan abstain (berkecuali) daripada parti sayap kanan ekstrem Vox, manakala parti-parti berhaluan kiri tempatan menolak cadangan itu.
Cadangan itu menyatakan ‘kemudahan sukan milik majlis perbandaran tidak boleh digunakan bagi sebarang aktiviti keagamaan, kebudayaan atau sosial yang asing daripada identiti kami, kecuali jika dianjurkan oleh pihak berkuasa tempatan’.
Parti Vox tempatan turut memuat naik kenyataan di platform X dengan menyatakan terima kasih kepada Vox atas langkah itu.
“Dengan sokongan Vox, langkah pertama mengharamkan perayaan Islam di ruang awam Sepanyol telah diluluskan. Sepanyol adalah dan akan kekal sebagai tanah umat Kristian,” katanya.
Mengulas langkah terbaharu itu, Presiden Persekutuan Pertubuhan Islam Sepanyol, Mounir Benjelloun Andaloussi Azhari menyifatkan langkah diambil Majlis Perbandaran Jumilla sebagai ‘Islamofobik dan bersifat diskriminasi’.
Katanya , mereka tidak menyasarkan agama lain dan pihaknya agak terkejut dengan apa yang sedang berlaku di Sepanyol, kali pertama dalam tempoh 30 tahun.
Jumilla, sebuah bandar di tenggara Sepanyol mempunyai kira-kira 27,000 penduduk dengan 7.5 peratus daripadanya berasal dari negara-negara yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Keputusan majlis perbandaran itu dijangka bakal dicabar di mahkamah kerana bertentangan dengan Perkara 16 Perlembagaan Sepanyol.
Perkara itu menyatakan, kebebasan ideologi, agama dan kepercayaan bagi individu dan komuniti adalah dijamin tanpa sekatan terhadap penyampaiannya kecuali yang perlu untuk mengekalkan ketenteraman awam seperti yang dilindungi oleh undang-undang.
Sementara itu, Ketua parti Sosialis di Murcia, Francisco Lucas melalui lplatform X berkata, Parti PP melanggar perlembagaan dan mempertaruhkan keharmonian sosial semata-mata demi kuasa.
Bekas Datuk Bandar Jumilla daripada parti Sosialis, Juana Guardiola turut mempersoalkan definisi identiti yang digunakan pihak berkuasa tempatan.
