SEPANG 21 Okt . – “Jerebu tidak memilih mangsa. Ia tidak membezakan warna kulit, agama atau kewarganegaraan. Anak Malaysia sesak nafas, anak Indonesia juga sesak nafas,” kata Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Sambil menegaskan gesaannya tidak dilihat sebagai pertelingkahan antara dua negara, Syed Saddiq mahu Indonesia bertindak berdasarkan kuasa yang ada tanpa memilih mana-mana syarikat sama ada dari Malaysia, Indonesia atau Singapura
“Ini bukan soal Malaysia lawan Indonesia, bendera kita berbeza tetapi apabila sesak nafas deritanya sama,” katanya bagi mengulas kritikan bekas Menteri Perdagangan Indonesia, Muhammad Lutfi, berhubung gesaannya, supaya ASEAN memulaukan Indonesia susulan isu jerebu rentas sempadan yang terus berulang.
Menerusi perkongsian video di media sosial, Syed Saddiq berkata, isu jerebu perlu ditangani melalui tindakan berasaskan bukti terhadap mana-mana pihak yang didapati mencemarkan alam sekitar.
Katanya, mana-mana syarikat dari Malaysia, Indonesia atau Singapura yang terbukti membakar hutan demi keuntungan perlu dikenakan tindakan mengikut undang-undang Indonesia.
“Saya tidak akan menjadi pelindung pencemar walaupun (pihak berkenaan) dari negara saya sendiri. Jangan memilih bendera perusahaan Malaysia, Indonesia atau Singapura (dan) kalau terbukti membakar hutan untuk keuntungan cepat ambil tindakan.
“Bendera bukan lesen untuk merosakkan alam. Mereka (pihak yang bertanggungjawab) beroperasi di Indonesia (tertakluk) di bawah undang-undang Indonesia. Kuasa (mengambil tindakan) di tangan anda (kerajaan Indonesia).
Di Parlimen, saya sudah mendesak tindakan terhadap syarikat Malaysia yang (jika didapati) terbabit. Lihat ucapan penuh saya, jangan potong ucapan sampai terpotong kebenaran,” katanya.
Ketika membahaskan Belanjawan 2027 semalam, Syed Saddiq dilaporkan menggesa Malaysia menggerakkan negara ASEAN menentang masalah jerebu.
Ini termasuk menghentikan pembiayaan kepada syarikat yang dikaitkan dengan pembakaran terbuka serta menggerakkan pengguna untuk memberi tekanan kepada perniagaan yang terbabit dalam kebakaran itu.
“Anda perlu menganggap mereka sebagai orang yang perlu dipulaukan di rantau ini,” katanya..
Syed Saddiq berkata, pemilikan ladang berskala besar juga tidak boleh dijadikan bukti mana-mana syarikat bersalah menyebabkan kebakaran hutan tanpa bukti yang menyokong dakwaan itu.
Mengulas mengenai SG Guthrie, beliau mendakwa, setakat ini tiada bukti pihak berkenaan sebagai pencetus kebakaran, malah, SG Guthrie mempunyai 67 pasukan dengan lebih 1,000 anggota terlatih, dron dan (peralatan) inframerah bagi menangani isu itu membabitkan perbelanjaan lebih RM800,000 sebulan.
“(Selain itu), kalau mahu petik laporan Greenpeace jangan petik separuh cerita. GaLaporan itu merekodkan 19 titik sumber asap di konsesi syarikat KLK berbanding 6,811 yang lain.
“Bapak mahu kami hanya fokus kepada penyumbang 0.3 peratus daripada 99.7 peratus yang lain. Jangan lantang terhadap satu nama kemudian senyap terhadap yang lain,” katanya.
Syed Saddiq berkata, Malaysia juga menawarkan bantuan bagi menangani kebakaran hutan di Indonesia, termasuk pesawat, tiga helikopter dan anggota, namun mendakwa tawaran itu tidak mendapat maklum balas daripada pentadbiran negara berkenaan.
“Ini bukan Malaysia lawan Indonesia, ini rakyat yang mahukan udara bersih melawan pihak yang mengotorkannya. Apabila hutan dibakar untuk keuntungan, untung masuk ke akaun syarikat, asap masuk paru-paru rakyat.
“Jerebu tidak memilih mangsa. Ia tidak membezakan warna kulit, agama atau kewarganegaraan. Anak Malaysia sesak nafas, anak Indonesia juga sesak nafas.
Bendera kita mungkin berbeza, tetapi keperluan kita untuk bernafas tetap sama. Jangan bela pembakar kerana benderanya, bela rakyat kerana nyawanya,” katanya.
Hari ini media melaporkan, Muhammad Lutfi, membidas Syed Saddiq susulan gesaan Ahli Parlimen Muar itu supaya ASEAN ‘memulaukan’ Indonesia berikutan masalah jerebu rentas sempadan yang berulang.
Lutfi dipetik berkata, masalah jerebu bukan peluang untuk meraih publisiti politik, murahan, sebaliknya harus ada simpati pada anggota bomba Indonesia yang terkorban ketika memadamkan kebakaran, manakala ratusan ribu rakyat negara itu terpaksa menyedut asap.
Beliau dipetik menegaskan, syarikat Malaysia yang mengendalikan ladang di Indonesia perlu turut bertanggungjawab terhadap krisis berkenaan.
Nnnn
