SELAMAT BERIBADAH

SYUKUR ke hadrat Allah SWT, umat Islam masih berpeluang melaksanakan salah satu kewajipan ibadah dasar dalam Rukun Islam iaitu berpuasa.

Ramadan 1441H ini tetap sama seperti Ramadan sebelumnya. Cuma suasananya berbeza. Banyak kelaziman yang dilakukan setiap kali Ramadan terhalang akibat serangan wabak Covid-19. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan masjid dan surau ‘terkunci’. Hanya imam, bilal dan siak boleh memasuki masjid.

Kita tidak boleh lagi solat jemaah termasuk Tarawih, Witir, iktikaf, tadarus al-Quran dan qiamullail.

Menjelang waktu berbuka, tidak ada lagi bazar Ramadan, tidak ada program bubur lambuk dan iftar di masjid, surau, hotel dan restoran. Begitu juga penyampaian sumbangan atau bantuan kepada mereka yang memerlukan. Masing-masing perlu duduk di rumah bersama keluarga.

Kali ini, umat Islam harus mempersiapkan diri dari segi mental dan fizikal untuk mendepani perubahan dan mengadaptasi normal baharu.

Hakikatnya, walaupun kita melakukan segala-galanya di rumah dalam lingkungan keluarga, ruang ibadah terbuka luas. Kita bukannya berada di zon perang yang menyebabkan ibadah terganggu tetapi kita di zon penyakit, zon koronavirus Covid-19 yang masih boleh dicegah. Salah satunya mematuhi PKP.

Anggaplah kepatuhan kita kepada PKP ini sebagai satu ibadah kerana menjalankan tanggungjawab untuk mengekang penularan wabak Covid-19. Walaupun pengorbanan kita tidak sebesar barisan hadapan tetapi barisan hadapan juga mengharapkan sokongan kita untuk kekal duduk di rumah.

Inilah  pengorbanan dan ibadah kita untuk kebaikan masyarakat seluruhnya. Masing-masing berperanan memutuskan rantaian jangkitan. Kita jaga kita.

Mengisi masa PKP ini, marilah kita bersama-sama mengimarahkan Ramadan. Tidak mungkin ganjaran berkurangan kecuali kita sendiri mengurangkannya. Jangan anggap PKP ini  kekangan yang boleh mengurangkan ganjarannya kerana apa yang sedang berlaku bukan sesuatu yang kita pinta.

Ramadan PKP ini pasti ada hikmah dan nikmatnya. PKP memberi banyak masa terluang kepada kita untuk mengisinya dengan pelbagai aktiviti yang bermanfaat. Banyak program yang disusun secara dalam talian untuk kita ikuti bersama seperti tadarus al-Quran di samping pelbagai kuliah dan tazkirah.

Manfaatkan kemudahan internet dan telefon pintar, untuk mempertingkatkan ibadah kita. Gunakannya untuk menyelak helaian al-Quran, mengikuti kuliah dan bukannya untuk aktiviti yang mengurangkan ganjaran Ramadan.  Hindarkan menyebar berita palsu, hadis palsu, serta pelbagai perkara yang boleh dianggap fitnah dan mengumpat. Ketika mulut berpuasa, jagalah juga jari kita.

Pada masa yang sama jangan lupa perbanyakkan amalan sedekah. Walaupun kita tidak mampu berdepan atau mengunjungi individu yang memerlukan bantuan tetapi kewujudan teknologi membuka ruang yang luas untuk bersedekah. Banyak pihak sama ada masjid, surau serta Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bersedia memikul tanggungjawab untuk mewakili kita menyantuni golongan yang memerlukan.

Akhirnya, dalam suasana bulan beribadah ini, jangan sesekali kita cuba meremehkan arahan PKP ini. Patuhilah supaya kita boleh memutuskan rantaian jangkitan. Jaga kesihatan dan kebersihan. Sentiasa amalkan membasuh tangan menggunakan sabun. Keluar hanya jika perlu. Semoga ibadah Ramadan kali ini benar-benar luar biasa sama ada kualiti atau kuantiti serta dari sudut khusyuknya.

Marilah kita SELAK satu persatu ibadah yang membawa akan membawa ganjaran berlipat kali ganda dan SELAK rapat-rapat mana-mana pintu kejahatan dan kemungkaran yang boleh merosakkan ibadah pada bulan yang mulia ini. Sentiasa ingat solat, puasa, sedekah dan zakat.

Selamat beribadah. Semoga ibadah kita diterima dan berpeluang bertemu Lailatul Qadar, malam yang lebih baik daripada seribu bulan.