Anwar bercakap mengenai ‘maha’

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Perdana Menteri Anwar Ibrahim mempertahankan penggunaan perkataan maha kaya yang sering digunakan dalam ucapannya bagi merujuk golongan paling kaya yang tidak layak mendapat subsidi.

Beliau  yang juga Menteri Kewangan menolak pandangan segelintir pihak bahawa penggunaan perkataan ‘maha’, itu, menyalahi tata cara penggunaannya.

“Tak betul, istilah maha tu… mahasiswa boleh pula? Kemudian, ada istilah… Mahathir? Sebab (ada) yang kata tak boleh, sebab (kononnya) ini hukum, ini hanya (terpakai kepada Allah yang Maha Suci, atau paling tidak Maha Mulia kepada Sultan-sultan dan Raja.

“Ini mahasiswa boleh, mahaguru boleh, mahawangsa boleh. Ini kena belajar Bahasa sikit. Macam ketimbang (berbanding). Saya tanya DBP, ada istilah yang mengikut zaman, atau disebut keperihalan keadaan, ini adalah teori bahasa mengikut context of situation,” katanya.

Sewaktu menggulung perbahasan Rang Undang-undang Pembekalan 2024 di Dewan Rakyat pada Khamis, Anwar berkata, sesetengah pihak, khususnya Ahli Parlimen Alor Star (Afnan Hamimi Taib Azamudden) harus memahami penggunaan perkataan mengikut konteks.

Katanya lagi, banyak perkataan baharu yang semakin banyak digunakan dan diakui oleh Dewan Bahasa dan Pustaka sendiri, khususnya istilah yang mengikut peredaran zaman atau mengikut teori Bahasa Melayu – keperihalan keadaan.

“Dulu tak ada alaf, mampan, ketelusan. Tetapi bila kita guna, DBP teliti, terutama dalam ucapan belanjawan, DBP rasa sesuai, maka dia kembangkan,” katanya lagi.

Terdahulu, Anwar menyentuh mengenai pandangan sesetengah pihak bahawa beliau sengaja mengenakan sistem percukaian yang lebih kepada golongan ‘maha kaya’, seolah-olah beliau anti kepada golongan tersebut.

“Ada yang bangkitkan kenapa sebut maha kaya. Termasuk (Ahli Parlimen) Alor Star. Saya tidak menentang orang kaya. Maha kaya ini, kerana kategori ini tidak boleh dapat sedekah dan subsidi. Itu saja point saya. Saya tak marah sebab dia kaya. Kita kata program subsidi seperti diesel, minyak, ayam semua ini dapat manfaat kepada golongan kaya.

“Kita nak elak daripada ini berlaku, sebab itu dikatakan sasaran subsidi. Kalaulah dengan cara ini rakyat terbeban, harga gula, tepung, ayam naik, kita masih tidak ubah dasar subsidi, tapi kita beri suntikan tambahan (Sumbangan Tunai Rahmah) yang melibatkan sembilan juta (ketua isi rumah) rakyat Malaysia,” katanya lagi.

Related posts

Leave a Comment