“Balas budi? Sorry, MCA ada maruah, bukan hipokrit”

SAH, calon DAP yang akan mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu (KKB) pada 11 Mei ini. Apa pun label, sama ada calon Kerajaan Perpaduan atau bukan mewakili parti, yang pasti Pang Sock Tao mewakili DAP.

Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming itu pastinya akan bertanding menggunakan simbol Pakatan Harapan (PH). Adakah simbol Kerajaan Perpaduan dalam senarai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Maka apabila Kerajaan Perpaduan atau PH mengesahkan wakil DAP sebagai calon, sudah tentulah MCA tetap berpegang kepada pendiriannya untuk tidak berkempen di KKB sekiranya calon yang diturunkan bukan mewakili BN.

Adakah MCA akan berubah fikiran menjelang hari penamaan calon atau semasa tempoh kempen yang akan berakhir sebelum hari pengundian pada 11 Mei ini?

Setakat ini, pendirian atau prinsip yang ditunjukkan MCA memang ‘padu’. Tegas, mantap dan tidak mudah ‘cair’ atau ‘goyang’. Memang sukar digugat pendirian itu (setakat hari ini 25 April). Tahniah MCA atas ketegasan itu.

Walaupun sepatutnya MCA ‘bermain’ sebagai satu pasukan di padang yang sama tetapi apabila ‘dikasari dan di buli’ di padang, adakah MCA masih terhegeh-hegeh meminta simpati untuk terus ‘bermain’ dalam pasukan yang sama.

Adalah lebih baik protes dengan keluar padang. Duduk saja di bangku pemain simpanan. Jadilah penonton kepada aksi rakan-rakan yang setia bersama.

Untuk rekod, beberapa jam sebelum pengumuman calon pada malam tadi, MIC yang pada awalnya dilaporkan tidak akan berkempen akhirnya melancarkan Bilik Gerakan MIC PRK DUN KKB yang dilakuan Presidennya SA Vigneswaran.

Kata Vigneswaran, keputusan MIC turun padang dalam kempen PRK itu adalah demi kebajikan kaum India di Hulu Selangor, khususnya di DUN berkenaan.

Ini tidak bermakna pendirian MCA menggambarkan parti itu tidak ambil peduli kebajikan kaum Cina sebaliknya tindakan parti itu sebagai tindak balas berikutan kritikan dan penghinaan pimpinan DAP terhadap parti komponen BN itu.

Jelaslah MCA tidak mudah memaafkan DAP berbanding UMNO yang lebih ‘berbudi bahasa, pemaaf dan mengenang budi’ walaupun umum mengetahui realiti sebenar hubungan UMNO – DAP sebelum ini termasuk ikrar Perhimpunan Agung UMNO.

MCA sebelum pengumuman rasmi calon DAP itu, telah mengeluarkan pelbagai kenyatan sama ada melalui Presidennya, Wee Ka Siong, ahli jawatankuasa pusat serta sayapnya, Pemuda. Semuanya tidak bersedia membantu DAP.

Terkini, dua hari lalu video kenyataan Ka Siong yang mengulas permintaan Naib Pengerusi DAP Nga Kor Ming supaya BN membalas budi DAP sedangkan sebelum itu pemimpin DAP dengan angkuh telah “mengguris perasaan dan menghina” MCA.

Ka Siong menyelak kembali bagaimana MCA sebagai rakan UMNO (BN) dituduh bersekongkol dengan penyamun dalam BN, sebagai pengkhianat Cina kerana tidak mengiktiraf UEC dan gagal menansuhkan sistem kuota Bumiputera.

Semua turuhan itu disebabkan sikap serta pendirian MCA dalam satu pasukan bersama UMNO sebagai parti komponen BN.

Menerusi video itu, Ka Siong memutar semula kenyataan Setiausaha Agung DAP Anthony Loke yang antara lain mengakui tidak suka MCA yang dakwanya sebuah parti tauke, tidak mementingkan kepentingan rakyat terutama masyarakat Cina.

“MCA bukan jenis parti yang bermuka-muka, kami parti yang berterus terang, bayangkan jika apa yang DAP buat kepada MCA ini berlaku kepada parti kamu , apa perasaan kamu, cakap jujur tepuk dada tanya selera,” kata Ka Siong.

Kepada rakan-rakan BN (yang tinggal UMNO, MIC, PBRS) Ka Siong bertanya, selepas dicaci oleh DAP, adakah beliau selaku Presiden akan meminta ahli-ahli MCA ‘mencium mulut’ pemimpin DAP atau ‘menjilat’ pemimpin parti itu?

“Sorry!” Ka Siong meminjam kata-kata bakal Presiden Indonesia, Prabowo.

“Manusia ada perasaan dan maruah, begitu juga ahli MCA yang mempunyai maruah dan harga diri, bayangkan jika parti kamu dimaki hamun, difitnah dan dihina, apakah perasaan dan reaksi kamu sebagai ahli parti yang bermaruah,” katanya.

Beliau berkata ini bukan soal pujuk memujuk, bukan soal mahu atau tidak mahu berjiwa besar tetapi ini adalah soal prinsip dan maruah MCA, parti kesayangannya yang perlu dipertahankan.

“Harap-harap semua faham ya. Selamat berkempen, selamat bertanding. Buatlah apa yang patut,” Ka Siong mengakhiri kenyataan melalui video itu.

Begitulah apabila MCA rasa terhina dengan kenyataan pemimpin DAP. Hakikatnya sudah lama parti politik ini ‘bermusuh’, samalah seperti UMNO, MIC dan lain-lain. Namun ketika parti lain boleh bersama, MCA tetap tegas dengan pendirian.

Justeru buat sementara waktu ini, biar saja MCA kekal dengan prinsipnya. Alasan yang diberi pun memang berpatutan. Manusia tidak sama. Ada yang boleh terima makian dan penghinaan ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri.

Meminjam kata-kata Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Koh Chin Han apa logiknya hendakkan MCA membantu parti yang berusaha bersungguh-sungguh hendak menjahanamkan MCA?

Sempat juga beliau mengingatkan UMNO: “Kan dia orang (DAP) yang dah nyatakan mereka tak suka MCA, tak dengar ke pemimpin-pemimpin UMNO ini?”.

Kata Chin Han lagi : “Cukuplah! Biarlah MCA buat keputusan sendiri, yang UMNO nak berpeluk dan cium mulut dengan DAP, itu hak kamu, kami tak dapat campur tangan, pada masa yang sama juga jangan campur tangan keputusan MCA,”.

Nnn

Related posts

Leave a Comment