Bersatu keluar notis kosongkan kerusi selepas PRK

LARUT 28 April – Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu akan mengesahkan tindakan yang akan diambil terhadap enam ahli Parlimen dan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang menyokong Perdana Menteri.

Setiausaha Agung BERSATU, Hamzah Zainudin, berkata sehari selepas mesyuarat itu, parti  akan menyerahkan notis pengosongan kerusi kepada wakil rakyat yang terlibat.

Beliau berkata, mesyuarat itu sepatutnya diadakan dalam masa terdekat namun terpaksa fokus pada PRK dahulu.

Menurutnya, tindakan itu bukanlah hanya untuk mereka (enam ahli Parlimen dan seorang ADUN), sebaliknya ia ada peringatan dan pengajaran kepada kesemua wakil rakyat BERSATU.

Hamzah yang juga Ahli Parlimen Larut berkata demikian ketika ditemui media dalam Sambutan Hari Raya Aidilfitri, Parlimen Larut di Dewan Semai Bakti Felda Ijok.

Enam ahli Parlimen yang menyokong kerajaan adalah Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli),  Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan  Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Seorang lagi yang terbabit adalah ADUN Selat, Kelang Abdul Rashid Asari.

Dalam pada itu beliau menyifatkan enam ahli Parlimen yang mengambil mudah tindakan yang bakal dikenakan sebagai permainan psikologi terhadap diri mereka sendiri.

“Tak perlu komen tindakan mereka itu, kalau dah kena esok baru dia tahu. Biarkan tindakan dia psiko diri sendiri sebab nak melegakan diri sendiri,” katanya.

(Foto FB Dr Dominic Lau)

Related posts

Leave a Comment