Chegu Bard direman dua hari

KUALA LUMPUR 28 April – Polis mengesahkan Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Chegu Bard ditahan dan direman dua hari mulai hari ini untuk siasatan mengikut Akta Hasutan 1948.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata majistret Mahkamah Kuala Lumpur membenarkan Chegu Bard direman mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

“Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah membuka kertas siasatan dan membuat tangkapan terhadap Badrul Hisham Bin Shaharin @Chegu’Bard pada 27 April 2024.

“Tangkapan berhubung hantaran yang mengaitkan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) dengan isu pembinaan kasino di Forest City serta melibatkan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong sebagai benteng kritikan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Mohd Shuhaily, siasatan dikendalikan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian Pendakwaan/Undang-Undang (D5), Bukit Aman.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 iaitu berkecenderungan menghasut bagi mendatangkan kebencian atau membangkitkan perasaan tidak setia terhadap mana-mana raja.

Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan,” katanya.

Susulan kes itu dalam siasatan, pihaknya menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang ulasan atau spekulasi yang boleh mengganggu siasatan.

“Tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam.

“PDRM menggesa orang ramai agar menjadi pengguna media sosial yang bijak dan tidak menggunakan platform terbabit sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Chegu Bard yang juga Ahli Jawatankuasa Penerangan BERSATU ditahan polis malam tadi, dipercayai berkaitan satu hantaran oleh beliau di media sosial mengenai projek kasino di Forest City.

Menurut peguam, Rafique Rashid, Chegu Bard ditahan di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Tapah, Perak kira-kira pukul  7 malam tadi, sebelum dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi di sini.

Chegu Bard didakwa menyindir Anwar mengenai hub kewangan yang akan dibina di Forest City, Johor, menerusi satu hantaran di Facebooknya.

Beliau turut berterima kasih kepada agensi berita Business Times Singapore dan Bloomberg kerana melaporkan berita berkenaan kepada umum.

Berikutan laporan itu, Anwar, Berjaya dan Genting Malaysia menafikan laporan Bloomberg, selain menggesa tindakan diambil terhadap syarikat media terbabit berhubung laporan itu.

Nnn

Related posts

Leave a Comment