Persiap diri dengan kekuatan fizikal, emosi

SHAH ALAM 29 April –  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan bakal jemaah haji mempersiapkan diri dengan sebaik-baiknya terutama kekuatan fizikal dan emosi, bagi berhadapan dengan pelbagai ujian serta cabaran.

Titah baginda, persediaan dalam bentuk penjagaan kesihatan dan ilmu ibadat haji perlu diberikan penekanan supaya semua cabaran termasuk cuaca panas dan sesak sepanjang menunaikan haji nanti dapat dilalui dengan sabar dan tenang.

“Sepanjang di Tanah Suci, bersihkan niat dan gunakanlah sepenuh masa serta tenaga untuk melaksanakan amal ibadah. Beta juga menyeru agar tuan-tuan dan puan-puan saling berganding bahu, tolong menolong dan hormat menghormati antara satu sama lain,” titah baginda.

Sultan Selangor bertitah demikian ketika merasmikan Kursus Perdana Haji Peringkat Selangor, di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini hari ini yang disertai lebih 8,000 bakal jemaah dari seluruh negeri.

Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama),  Dr Mohd Naim Mokhtar; Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari; Pengerusi TH, Abdul Rashid Hussain dan Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman.

Seramai 31,600 bakal jemaah haji akan mengikuti Kursus Perdana Haji Musim 1445H/2024M anjuran Lembaga Tabung Haji (TH) yang diadakan secara berperingkat di seluruh negara sepanjang tempoh 20 April hingga 5 Mei depan.

Program dua hari satu malam membabitkan aktiviti praktikal seperti tawaf, sa’ie, bermabit dan melontar itu adalah kemuncak kursus haji sebagai persiapan terakhir bakal jemaah haji terpilih pada musim ini sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Dalam titah perasmian kursus dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) itu, baginda juga memuji perkhidmatan dan prasarana bertaraf dunia yang disediakan oleh TH demi keselesaan jemaah haji sehingga menjadi contoh ikutan negara lain.

Baginda yakin TH bersedia menjaga kebajikan dan keselamatan semua jemaah haji Malaysia tahun ini.

Sultan Sharafuddin turut mengingatkan jemaah haji agar jangan mudah menyebarkan berita yang tidak tepat di media sosial berkaitan dengan kekurangan, kelemahan atau keburukan TH.

“Sekiranya jemaah haji menghadapi masalah atau tidak mendapat kepastian tentang suatu perkara, ianya hendaklah dirujuk dan berbincang dengan baik dengan pihak Lembaga Tabung Haji melalui saluran yang betul.

“Kita harus bersyukur dengan adanya sebuah perbadanan seperti Tabung Haji yang menjaga kebajikan jemaah haji negara. Oleh itu gunakanlah kemudahan yang ada untuk mempermudahkan urusan mengerjakan haji atau pun umrah,” titah baginda.

Baginda juga menasihatkan jemaah haji untuk mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan Kerajaan Malaysia dan Arab Saudi supaya sentiasa berada dalam keadaan sihat sejahtera dan terhindar daripada sebarang masalah.

“Pada tahun ini, beta juga telah menitahkan supaya kerajaan negeri menaja seramai 36 rakyat Selangor dari sembilan daerah di negeri ini. Mereka dipilih dari kalangan rakyat yang tidak mampu tetapi benar-benar berhasrat untuk menunaikan haji,” titah baginda.

Sementara itu, Mohd Naim berkata, pengisian dalam kursus perdana akan menzahirkan suasana sebenar di Tanah Suci, sekali gus melatih bakal haji supaya bersedia menghadapi pelbagai situasi mencabar semasa kemuncak haji yang menghimpunkan hampir tiga juta jemaah dari serata dunia.

Related posts

Leave a Comment