Soal rasuah, tatakelola tidak boleh diremehkan

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau menteri yang terlibat dalam penyalahgunaan kuasa yang menyebabkan ketirisan dana awam, kata Anwar Ibrahim.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan berkata, akan terus memberi tumpuan kepada aspek tatakelola bagi memastikan tiada penyalahgunaan kuasa dan ketirisan membabitkan peruntukan dana awam.

“Walaupun ada pihak yang bosan mendengar saya menekankan soal reformasi dan tatakelola, pada saya ini yang harus diutamakan,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau tidak mahu soal rasuah dan tatakelola diremehkan kerana ia boleh menyebabkan kerugian kepada dana awam, seperti yang sering ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) sebelum ini.

“Pengalaman-pengalaman (salah guna kuasa dan ketirisan) ini kita harus ambil kira dan kita tegaskan tak boleh berulang… sebab itu kita putuskan untuk ambil tindakan sebaik sahaja ia disahkan.

Pegawai, pengurus atau menteri atau siapa sahaja yang bertanggungjawab harus dikenakan tindakan, ini termasuk juga pengurusan dana syarikat kerajaan yang kurang memuaskan,” katanya ketika menggulung perbahasan peringkat dasar Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata kerajaan telah melalui beberapa pengalaman, termasuk teguran pengauditan berhubung perolehan seperti yang dilaporkan dalam LKAN dan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

Ini termasuk kegagalan 104 ventilator berfungsi daripada 136 yang diperoleh semasa pandemik Covid-19 dan kerugian RM505 juta akibat 8.5 juta dos vaksin tamat tarikh luput.

Selain itu, taklimat oleh Ketua Audit Negara berhubung hasil pengauditan terkini menunjukkan penemuan utama adalah kerugian wang awam hampir RM700 juta, antaranya melibatkan pengurusan program penanaman padi negara, pengurusan pembangunan hartanah Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) dan kawal selia senjata api di bawah Kementerian Dalam Negeri.

Menjawab celahan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (MUDA-Muar) mengenai peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang, Anwar berkata perkara itu telah ditugaskan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof bersama jawatankuasa yang dibentuk.

“…seperti mana kita lakukan ketika zaman Bera (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) ada libat urus, runding ada parameter, kita runding, kita teruskan. Saya tidak beranjak daripada pendirian itu. Soal nak kata zalim, maknanya kerajaan dulu zalimlah, tak bagi (peruntukan).

“Larut (Datuk Seri Hamzah Zainudin) pun tahu, bincang, kalau munasabah, kita lulus tak ada masalah, kata tak ada peruntukan tak betul, peruntukan Ahli Parlimen itu keputusan kemudian, bukan hak, haknya beri peruntukan cukup pada rakyat, bukan Ahli Parlimen, wakil rakyat ada hak dia, ada gaji ada elaun,” katanya.

Mengulas celahan Datuk Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) berkaitan pelarasan pencen tentera, Anwar berkata kajian telah dilakukan bersama sekretariat Jabatan Perkhidmatan Awam untuk melihat penyelarasan menyeluruh termasuk veteran tentera berpencen.

“Jadi beri saya sedikit lagi waktu, saya beri jaminan saya tidak mahu Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) ketepikan permohonan mana-mana pihak, kita minta bersama KSN (Ketua Setiausaha Negara) dan KPPA (Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam) buat kajian menyeluruh bagi pastikan tiada satu pun tertinggal,” katanya.

Related posts

Leave a Comment