Calon Melayu boleh menang jika bersatu

KUALA LUMPUR 28 April –  Putra secara diam bersiap sedia untuk meletak calonnya bagi menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu sekiranya tidak ada calon Melayu diturunkan pada hari penamaan calon semalam.

Presiden Putra Dr Ibrahim Ali berkata, hasrat itu dibatalkan apabila Perikatan Nasional (PN) mencalonkan orang Melayu.

“Putra membatalkan hasrat meletakkan calon bagi mengelak berpecahnya undi Melayu tetapi undi Melayu akan terus berpecah kerana ada Melayu sanggup menjadi alat kepada kaum lain” katanya dalam satu kenyataan .

Beliau mengulas kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang meramalkan DAP akan memenangi PRK itu kerana undi Melayu berpecah walaupun pengundi kaum itu hampir 50 peratus.

Ibrahim menyifatkan pandangan Dr Mahathir sebagai berterus terang sebab undi kaum Cina teguh bersatu bersama DAP manakala orang Melayu akan menyokong parti komponen Pakatan Harapan (PH) itu hasil peranan yang dimainkan UMNO.

“Apa pun kenyataan Tun M iaitu DAP akan menang di PRK Kuala Kubu Bharu boleh juga ditafsirkan sebagai mesej, kalau mahu calon Melayu menang kenalah Melayu bersatu seperti mana kaum Cina bersatu.Inilah mesej sebenarnya,” katanya.

Pada PRK itu, empat calon menawarkan diri iaitu Khairul Azhari Saut yang mewakili PN, Pang Sock Tao (PH), Hafizah Zainudin (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Related posts

Leave a Comment