MOTAC duduki kerusi UNESCO

KUALA LUMPUR 8 Julai – Malaysia menerusi Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) melakar sejarah buat julung kalinya terpilih menduduki kerusi UNESCO Intergovernmental Committee for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage (IGC ICH) untuk sesi 2022-2026.

MOTAC dalam satu kenyataan di sini, hari ini, memaklumkan kejayaan itu adalah sejarah negara sejak meratifikasi 2003 Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage pada 23 Julai 2013.

“Malaysia menang bertanding dalam kumpulan negara Asia Pasifik dengan meraih 110 undi daripada 132 undi keseluruhan atau 83 peratus.

Ini adalah satu pencapaian yang membanggakan kerana kepakaran dan keupayaan negara diiktiraf serta diyakini untuk turut sama menentukan hala tuju perlindungan Warisan Kebudayaan Tidak Ketara (WTK) melalui jawatankuasa tersebut,” katanya.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi oleh Penolong Ketua Pengarah (Budaya) Pertubuhan Pendidikan Kebudayaan dan Saintifik Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), Ernesto Ottone R pada The Ninth Session of the General Assembly of the States Parties to the Convention for the Safeguarding of the Intangible Cultural Heritage, semalam di Ibu Pejabat UNESCO, Paris, Perancis.

Sesi itu turut dihadiri delegasi Malaysia yang diketuai Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Saraya Arbi.

Kenyataan MOTAC turut memaklumkan, tanggungjawab selaku negara anggota IGC ICH menuntut komitmen tinggi.

“Antara tanggungjawab utama yang perlu dilaksanakan termasuk melaksanakan objektif konvensyen, menyediakan garis panduan amalan terbaik dan membuat rekomendasi perlindungan WTK.

“Selain itu, ia turut menilai pencalonan negara anggota bagi pengiktirafan di bawah senarai WTK; meluluskan program, aktiviti dan bantuan antarabangsa (international assistance) serta menyedia dan memperhalusi draf rancangan penggunaan peruntukan perbelanjaan kepada General Assembly untuk kelulusan,” katanya.

Katanya, secara dasar, jawatankuasa itu bertanggungjawab terhadap hala tuju pemeliharaan dan perlindungan WTK.

“Sehingga kini, enam elemen WTK di Malaysia disenaraikan di bawah konvensyen sama, iaitu Mak Yong (2005), Dondang Sayang (2018), Silat ( 2019), Upacara Wangkang (2020), Pantun (2020) dan Songket (2021).

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama padu daripada pelbagai agensi Kerajaan Persekutuan terutama MOTAC melalui agensinya Jabatan Warisan Negara, Kementerian Luar Negeri, Kementerian Pendidikan (KPM), Kedutaan Malaysia di Paris dan Pejabat Delegasi Tetap Malaysia ke UNESCO, Paris.

“Keberadaan Malaysia pada platform peringkat antarabangsa terutama UNESCO dapat membantu meningkatkan identiti dan visibiliti negara dalam usaha memelihara warisan yang tidak ternilai untuk dikongsi serta diwarisi kepada generasi akan datang,” katanya.

Related posts

Leave a Comment