Jemaah haji tiba di Arafah

MAKKAH – Ratusan ribu jemaah haji mula berwukuf di Arafah awal pagi Jumaat bagi menyempurnakan satu daripada enam rukun haji.

Kehadiran jemaah musim ini dihadkan kepada satu juta orang termasuk 850,000 dari luar negara yang dipilih melalui kuota, yang akan bermalam di kem di Mina, tujuh kilometer dari Masjidilharam di Makkah.

Pada awal hari ini, mereka berkumpul di Gunung Arafah, tempat Nabi Muhammad SAW menyampaikan khutbah terakhirnya.

Jemaah akan berada sepanjang hari di Padang Arafah untuk berdoa dan membaca al-Quran.

Selepas matahari terbenam, jemaah akan menuju ke Muzdalifah, separuh jalan antara Arafah dan Mina, untuk menyempurnakan ibadah melontar di tiga jamrah esok.

Haji tahun ini berlangsung di sebalik kebimbangan peningkatan semula kes Covid-19 di rantau ini, dengan beberapa negara Teluk mengetatkan sekatan untuk mengawal wabak.

Semua jemaah dikehendaki mengemukakan bukti vaksinasi penuh dan ujian PCR negatif. Sebaik tiba di Mina kelmarin, mereka dibekalkan beg kecil mengandungi pelitup muka dan sanitasi tangan.

Pada 2019, kira-kira 2.5 juta umat Islam dari seluruh dunia mengerjakan ibadah itu, namun kehadiran wabak sejak 2020 memaksa pihak berkuasa Arab Saudi mula mengecilkan jumlah kehadiran jemaah haji secara mendadak.

Hanya 60,000 rakyat dan penduduk Arab Saudi yang diberi vaksin sepenuhnya mengambil bahagian menyempurnakan ibadah itu tahun lalu, meningkat daripada hanya beberapa ribu pada 2020.

Tahun ini, jemaah berdepan cabaran cuaca panas dan suhu meningkat sehingga kepada 42 darjah Celsius.

(foto Haramain Sharifain perjalanan ke Arafah)

Related posts

Leave a Comment