16.5 juta penumpang lalui Changi

SINGAPURA 26 April – Kira-kira 16.5 juta penumpang melalui Lapangan Terbang Changi Singapura pada suku pertama tahun ini, melepasi paras sebelum pandemik, demikian menurut Changi Airport Group (CAG).

Dalam satu kenyataan, CAG memaklumkan lapangan terbang itu menguruskan 5.43 juta penumpang pada Januari, 5.35 juta pada Februari dan 5.73 juta pada Mac.

Perangkaan ini adalah masing-masing 96 peratus, 104.3 peratus dan 101.7 peratus lebih tinggi berbanding bulan yang sama pada 2019 sebelum pandemik, di mana jumlah pergerakan penumpang melepasi perangkaan pada suku pertama 2019 dengan sebanyak 0.5 peratus.

Sejumlah 89,400 pesawat mendarat dan berlepas dari Lapangan Terbang Changi, iaitu 94 peratus daripada pergerakan yang dicatatkan pada suku pertama 2019.

Lima pasaran teratas ialah China, Indonesia, Malaysia, Australia dan Thailand.

Pengecualian visa selama 30 hari bagi penumpang yang melakukan perjalanan antara Singapura dengan China juga merancakkan pelancongan kedua-dua negara, meletakkan China sebagai pasaran teratas Changi bagi suku pertama.

Denpasar (Bali), Manila, Taipei, Seoul dan Shanghai pula dalam kalangan 10 destinasi bandar teratas yang mencapai prestasi lebih 10 peratus berbanding pada suku pertama 2019.

Sementara itu, jumlah kargo udara bagi suku yang sama sebanyak 475,000 tan, satu lonjakan 14 peratus berbanding tempoh sama pada 2023 yang juga menandakan pertumbuhan suku pertama selepas kemerosotan dicatat selama tujuh suku berturut-turut.

Pertumbuhan itu sebahagian besarnya hasil prestasi kukuh terutama sekali bagi aliran dengan China.

Bagi tempoh tiga bulan itu, lima pasaran kargo udara teratas Changi adalah Australia, China, Hong Kong, India dan Amerika Syarikat.

Nnnn

Related posts

Leave a Comment