Pulang dengan komitmen, keyakinan tingkatkan ibadah

KOTA suci Mekah mula ditinggalkan jemaah haji dari seluruh dunia. Selepas kemuncak haji pada 31 Ogos lalu, jemaah beransur pulang. Ada yang terus kembali ke negara masing-masing dan ada juga yang singgah di Madinah untuk lakukan ziarah serta mendapatkan solat 40 waktu di Masjid Nabawi.

Beberapa hari terakhir yang tinggal, Baitullah terus dibanjiri umat Islam untuk melakukan umrah dan tawaf. Ada yang cuba tawaf sebanyak mungkin, setiap kali selepas solat. Dalam keadaan cuaca panas dan sekali sekala hujan, ternyata dataran Baitullah tidak pernah kosong.

Mungkin kosong dalam tempoh seminggu ini dan kembali menerima tetamu umrah pada bulan Safar atau hujung bulan Oktober ini. Menjelang hari-hari terakhir ini, banyak perniagaan mula menawarkan harga diskaun bagi menutup perniagaan musim haji. Jemaah pula tidak melepaskan peluang untuk membeli ‘buah tangan’ untuk saudara mara.

Hotel penginapan juga kian lengang dan para pekerja mula mengalihkan tilam serta katil yang ditambah bagi setiap bilik. Bagi hotel bertaraf ‘berbintang-bintang’ turut menawarkan diskaun ‘gila-gila’ yang memberi peluang kepada jemaah untuk mencuba bilik berkenaan. Di kawasan Masjidilharam, jemaah mempamerkan pelbagai aksi un-tuk mengucapkan selamat tinggal.

Doa dan tangisan tidak putus-putus. Ada yang bergerak secara berundur setapak demi setapak meninggalkan kawasan masjid sebagai tanda mengucapkan selamat tinggal. Jemaah bersalaman dan berpelukan tanda perpisahan. Tahun ini, kehadiran jemaah meningkat, lebih dua juta orang apabila semua negara sama ada memperoleh semula kuota sebelum ini atau mendapat tambahan. Lima negara teratas yang men-girim jemaah terbesar jemaah ialah Indonesia (221,000), Pakistan (179,210), India (170,000), Bangladesh (127,198) dan Mesir 108,000 orang.

Malaysia pula mendapat kuota 42,000. Hari ini dijangka semua jemaah Malaysia akan meninggalkan Mekah untuk ke Madinah atau pulang ke Malaysia. Seperti diselak sebelum ini, dengan peningkatan kuota sudah pasti keselesaan jemaah akan terjejas terutama di Arafah dan Mina.

Bagaimanapun ini adalah se-bahagian daripada cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi. Roh iman perlu ada di Tanah Suci. Bagi menyempurnakan ibadah ini, ia menuntut ketabahan, keyakinan dan komitmen jemaah.

Bagi yang lebih berani, mereka akan cuba mendekati Kaabah untuk mencium Hajarul Aswad dan solat di Hijr Ismail. Kerajaan Arab Saudi ada mengeluarkan video untuk tidak berebut-rebut tetapi lumrah manusia, mungkin untuk mengejar fadilatnya. Ada juga yang lebih menitikberatkan perkara-perkara sunat.

Lakukanlah jika berpeluang tetapi tidak perlu mempertaruhkan keselamatan atau mengganggu orang lain. Khabarnya ada yang menawarkan bantuan untuk mencium Hajarul Aswad itu tetapi ia bukan percuma. Perlu dibayar! Ini seperti perniagaan pula. Tidak perlu resah gelisah jika tidak mampu berbuat demikian kerana banyak lagi perkara yang mendapat ganjaran pahala tanpa berhadapan dengan risiko yang boleh menyakiti hati orang atau disakiti orang lain. Melihat Kaabah dan al-Quran juga mendapat pahala.

Apa pun di sebalik pelbagai cabaran yang menuntut kesabaran itu, sudah tentu setiap jemaah telah memanfaatkan masa selama sekurang-kurangnya 40 hari di kota Mekah dan Madinah.

Seorang sahabat berjaya mendapat sijil sebagai tanda lulus dalam bacaan al-Quran selepas beberapa kali bersama ‘guru al-Quran’ yang juga imam terpilih sekitar Mekah. Ujian bacaan yang dilaluinya lulus seperti hafiz lain. Ini salah satu aktiviti yang boleh dimanfaatkan jemaah sama ada di Masjidilharam atau Masjid Nabawi.

Di sini iaitu Mekah dan Madinah turut menuntut kesabaran perokok. Sejauh mana mereka bersedia meninggalkan tabiat itu ketika di Tanah Suci? Memang ada yang berjaya membebaskan diri dari rokok untuk beberapa hari peringkat awal sahaja. Walaupun wujud larangan merokok tetapi seperti di Malaysia, arahan itu sekadar slogan.

Menyebut soal makan minum ini, sudah tentu pengajaran yang diperoleh ialah bagaimana kita boleh belajar sabar dan reda dengan harga makanan. Sekadar contoh mudah, secawan teh susu ada yang jual dengan harga dua riyal dan ada tiga riyal.

Nak dapat kuah kari pun kena caj. Roti canai pula ada yang mencecah tiga riyal sekeping. Begitulah harga makanan di Mekah, sekadar contoh teh dan roti. Begitu juga teksi. Jika kita merungut di Malaysia berlaku pelbagai tambang, di sini juga sama. Kereta sapu pun ada.

Bagi jemaah Malaysia, mereka membeli sakan. Saban hari di lobi hotel, berpuluh-puluh kotak barangan dipos menggunakan khidmat Pos Malaysia.

Entah berapa pula nilai yang dibelanjakan oleh jemaah Malaysia tahun ini. Malahan ada kedai yang mengakui 90 peratus pem-belinya adalah rakyat Malaysia. Ada peniaga yang menggunakan kad bisnes tertera bendera Malay-sia. Lazimnya jemaah Malaysia, sekurang-kurangnya membeli kurma, sejadah, minyak atar dan kacang.

Walaupun kebanyakan barang itu boleh didapati di Malaysia tetapi membeli di sini seolah-olah satu keperluan. Barang yang dijual pula datang dari China, India, Turki dan beberapa negara lain. Di mana barangan buatan Malaysia? Adakah kita sekadar pembeli dan bukan penjual di kota yang menjadi tumpuan umat Islam ini?

Selamat tinggal kota suci Mekah. Semoga memperoleh haji mabrur. Begitu juga pengajaran dan pengalaman di Tanah Suci ini akan memperkukuhkan iman setiap jemaah.

Pulanglah dengan keyakinan dan komitmen untuk memperbaiki ibadah atau sekurang-kurangnya kekal dengan rutin harian solat berjemaah di masjid. Jika saban hari kita sanggup bangun awal dan berjalan kaki dalam cuaca panas sejauh hampir satu kilometer ke Masjidilharam, tidak ada sebab kita gagal berkunjung ke masjid atau surau berhampiran rumah sama ada berjalan kaki atau berkenderaan. Jangan kepulangan kita sekadar berubah cara berpakaian, berjubah atau berserban serta gelaran haji.

UMA250917010C_2#

Related posts

Leave a Comment