Ikut ‘imam’ rapatkan saf, jadi makmum terbaik

SAF! Itu antara perkataan yang sering kali imam laungkan sebelum mengimamkan solat. Maksudnya
meminta jemaah memenuhi ruang kosong yang masih ada di hadapan, rapatkan kedudukan makmum, dan membetulkan barisan saf. Saf ini juga memperlihatkan penyatuan umat Islam dalam satu barisan. Nampak remeh tetapi itulah antara mesej yang mahu disampaikan dalam merapatkan saf dan membetulkannya.

Rasulullah SAW juga amat menitik beratkan perkara ini. Ketika itu, keselesaan individu makmum dalam bersolat bukan lagi perkara utama kerana yang penting saf dirapatkan. Bagi yang pernah menjadi tetamu Allah di dua Tanah Suci, tentu akan dapat merasai saf solat di Masjidilharam, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah. Setiap inci ruang solat diisi dengan makmum.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan jumlah jemaah yang ramai. Jika ada sedikit ruang sekadar sebelah tapak kaki dengan orang sebelah, akan ada orang yang datang dari belakang untuk mengisi ruang itu. Begitulah kepentingan merapatkan saf. Tetapi adakah situasi ini sekadar berlaku ketika jumlah jemaah terlalu ramai sehingga ruang solat amat terhad? Bagaimana keadaannya setelah jemaah berkurangan?

Contoh yang boleh dilihat ketika ini apabila jumlah jemaah sempena musim haji semakin berkurangan setelah masing-masing meninggalkan kedua-dua kota suci itu. Keadaan itu menyebabkan ruang masjid yang besar semakin sepi.

Hari ini walaupun sudah ramai yang pulang, masih ada yang solat di dataran luar atau saf belakang
sedangkan ruang di dalam masjid masih banyak. Situasi ini seolah-olah memperlihatkan jemaah
hanya memenuhi konsep rapatkan saf dalam keadaan terdesak. Mereka sanggup berasak ketika dalam keadaan padat tetapi tidak bersikap demikian ketika dalam keadaan lapang. Adakah hubungan ukhuwah itu yang dapat digambarkan melalui saf menjadi longgar apabila wujud ruang yang menjanjikan keselesaan kepada jemaah. Masing-masing membawa haluan memilih ruang kosong untuk keselesaan.

Selak tidak berhasrat menyelak lebih mendalam mengenai saf solat ini. Biarlah bijak pandai agama
mengulasnya. Bagaimanapun tulisan ini sedikit sebanyak adalah berkaitan keperluan bersama saf kepemimpinan dalam menghadapi apa juga situasi. Bukan bermakna apabila bersama saf kepemimpinan, seseorang itu tidak boleh membuat teguran terhadap orang lain. Seperti seorang imam yang kadang-kadang tersalah atau terlupa bacaannya, makmum boleh mengingatkannya dengan baik untuk membantu imam meneruskan bacaannya. Imam tidak boleh dibiarkan sendirian atau terkapai-kapai mencari bantuan.

Dalam hubungan ini, Nabi SAW bersabda : Hendaklah yang ada di belakangku (saf pertama bahagian tengah belakang imam) adalah kalangan orang dewasa yang berilmu. Kemudian diikuti oleh mereka yang lebih rendah keilmuannya. Kemudian diikuti lagi oleh kalangan yang lebih rendah keilmuannya”. Hadis ini menjelaskan susunan saf di belakang imam mengikut urutan keutamaan atau ilmu termasuk pengetahuan dalam bacaan al-Quran.

Maknanya imam boleh ditukar ganti oleh makmum yang berkelayakan jika sesuatu berlaku. Begitu juga di dalam politik, mereka yang menjadi pemimpin harus dihormati, tetapi pada masa sama
boleh ditegur atau diganti sekiranya ada sebab tertentu yang boleh membenarkan pertukaran itu.

Berkaitan imam dan pemimpin ini, Selak ingin menarik perhatian mengenai pendekatan yang pernah
diambil oleh bekas Naib Presiden UMNO, Muhammad Muhd Taib. Beliau pernah menekankan
tentang konsep imam ini. Walaupun beliau pernah meninggalkan UMNO untuk menyertai Pas dan
PKR tetapi akhirnya timbul kesedaran untuk mengikut ‘imam’ sedia ada. Pelbagai tafsiran dibuat
mengenai keputusan Muhammad kembali ke pangkuan UMNO.

Hakikatnya, keputusan itu perlu dihormati walaupun ada yang sudah terluka dengan tindak tanduknya. Selak cuma ingin menyelak semula kenyataannya melalui satu wawancara bersama majalah MASSA pada Oktober 1999. Ketika itu beliau menggunakan istilah ‘imam’ bagi merujuk
kepatuhan terhadap pemimpin selepas beliau tidak lagi menjadi Menteri Besar Selangor.

Katanya: Sikap saya satu saja, macam orang bersembahyang, bila kita jadi makmum kita ikut imam. Bila jadi imam, saya hendak makmum ikut saya. Sekarang jadi makmum balik… Saya lebih mementingkan soal agama, bangsa dan negara, daripada diri sendiri. Buat apalah hendak memuaskan
hati hingga menyebabkan negara ini tercedera. Sekecil mana sekalipun, oleh kerana hendak puaskan
hati, saya buat sesuatu yang boleh merosakkan imej negara, perpaduan bangsa dan menyusahkan
pemimpin. Rakyat pun turut susah kita buat. Pasal kita, orang berpecah belah. Buat apa semua
itu. Dalam agama pun disuruh kita jangan berpecah. Kalau kita sebagai pemimpin, kita yang menyebabkan orang berpecah belah, tak tahulah bagaimana boleh jadi pemimpin.”

Itu mesej Muhammad. Memang menarik untuk direnungi dalam konteks politik pelbagai parti. Malangnya, beliau kecundang. Ketika dalam kedudukan sudah berada di barisan belakang ‘imam’ , beliau keluar mening­galkan barisan saf kepemimpinan UMNO selama lima tahun.

Di luar saf, beliau menegur pelbagai perkara yang tidak elok. Beliau mengikut ‘imam’ Pas dan PKR tetapi itu adalah haknya se­bagai individu yang sentiasa bijak mencatur masa depan politiknya sendiri. Cuma mesejnya itu perlu diberi perhatian khususnya oleh anggota parti politik. Biar apa pun fahaman politik, berada bersama saf kepemimpinan amat penting.

Dalam menghadapi pilihan ra­ya umum (PRU) akan datang, saf kepemimpinan memainkan per­anan amat penting. Pemimpin se­ bagai imam sudah boleh menen­ tukan barisan yang layak menjadi pelapis dan makmum yang be­nar-benar layak serta bersedia melangkah ke hadapan.

Pada masa sama ‘makmum’ yang dilihat sebagai pelapis tidak seharusnya menunjuk lagak un­tuk terus menjadi ‘imam’ sehing­ga pada satu masa mencetuskan dua ‘imam’ dan mengelirukan jemaah­. Menggantikan ‘imam’ perlu ada cara dan adabnya.

Tidak semestinya apabila imam tersilap bacaan, makmum yang dikategorikan layak akan terus­ menggantikannya­ di hadapan. Langkah­ pertama yang patut dilakukan adalah membuat teguran terlebih dahulu. Bukan suka-suka untuk menarik imam duduk di belakang sebagai jemaah. Bersabarlah.

Bagi anggota parti pula, jangan­ terlalu jauh meninggalkan saf aki­bat keselesaan yang dinikmati. Sikap­ demikian mungkin me­nyebabkan pemimpin terleka atau terbiar keseorangan. Bertindaklah sama seperti mengisi setiap ruang kosong di dalam saf solat. Jangan biarkan ruang kosong itu diisi oleh ‘iblis’ dan ‘syaitan’ yang boleh menjejaskan fokus atau tum­puan. Justeru semangat ukhuwah dan silaturahim itu amat penting dalam mengukuhkan saf untuk menghadapi sebarang situasi. Semoga anggota parti politik akan menjadi ‘makmum’ yang terbaik kepada ‘imam’ masing-masing.

UMA091017010C#

Related posts

Leave a Comment