Sumbangan Yang Dipertua Negeri, kerajaan negeri

TANJONG 26 April – Kerajaan Pulau Pinang menyerahkan sumbangan kepada keluarga Allahyarham Komander Muhammad Firdaus Ramli, anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) yang terkorban dalam nahas helikopter di Lumut, Selasa lalu.

Sumbangan peruntukan khas ketua menteri itu diserahkan sendiri Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, kepada bapa Allahyarham, Ramli Abd Hamid, 69, ketika menziarahi kediaman keluarganya di Pantai Jerejak di sini, petang ini.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sedia berbincang mengenai bentuk bantuan lain kepada keluarga Allahyarham selepas ini.

Beliau juga berharap Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan TLDM melakukan siasatan sebaik mungkin bagi mengetahui punca sebenar kejadian yang turut mengorbankan sembilan lagi anggota TLDM.

“Kita semua sedih atas kejadian yang mengorbankan 10 orang wira negara, lebih-lebih lagi keluarga mangsa. Kita turut memberikan sedikit sumbangan hari ini sebagai tanda prihatin atas tragedi yang menimpa,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, Kon Yeow meluangkan masa kira-kira 20 minit bersama ahli keluarga Allahyarham.

Turut hadir, Panglima 2 Divisyen Mejar Jeneral Datuk Azhan Md Othman dan Panglima Laut Wilayah 3 Laksamana Pertama Roslee Mohamad Isa.

Sementara itu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ahmad Fuzi Abdul Razak, turut menziarahi keluarga Allahyarham dan meluangkan kira-kira 30 minit bertanyakan khabar dan perkembangan terkini mengenai siasatan tragedi itu.

Beliau menyerahkan sumbangan berupa cek bernilai RM10,000 kepada isteri Allahyarham, Sofiyyah Sa’adon daripada Yayasan Amal Tuan Yang Terutama (TYT) Pulau Pinang selain RM30,000 yang disumbangkan oleh beberapa ahli korporat.

Keluarga Muhammad Firdaus turut menerima tiga kotak makanan keperluan asas daripada yayasan berkenaan.

Muhammad Firdaus, 44, Pegawai Memerintah Skuadron 503 TLDM, antara 10 tentera yang maut dalam nahas dua helikopter di Pangkalan Tentera Laut TLDM di Lumut, Perak, Selasa lalu.

Allahyarham meninggalkan isteri, Sofiyyah, 42, dan seorang anak lelaki berusia empat tahun.

Jenazah Muhammad Firdaus selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Sungai Nibong Besar di sini malam tadi, selepas solat jenazah dan diberi penghormatan terakhir mengikut istiadat rasmi TLDM di Kem 23 Rejimen Askar Melayu Diraja Ipoh, Perak.

(Foto Markas Divisyen ke2 Infantri Malaysia)

Related posts

Leave a Comment