Berbalah cari punca kejatuhan PH

IBARAT budak-budak. Diberi ‘gula-gula’ tidak mahu tetapi masih tunjuk ‘bebal, menangis, meronta-ronta serta berguling-guling’ meminta ‘ais krim’ yang sudah pun berada di mulut orang lain.

Mungkin itulah gambaran terhadap pendirian Pakatan Harapan (PH) yang tidak mahu PIlihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan, sebaliknya meminta ‘mandat rakyat’ yang sudah berselerak dikembalikan kepada mereka.

Realiti politik di Malaysia, mana-mana pihak yang mendapat sokongan majoriti walaupun satu kerusi maka merekalah pemerintah walaupun pada peringkat awalnya pakatan mereka memenangi majoriti kerusi.

Malahan, ketua pembangkang Anwar Ibrahim pun sering bermain dengan angka bagi menunjukkan beliau mendapat sokongan untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Muhyiddin Yassin yang dikatakan ‘hilang majoriti’.

Perlembagaan tidak menghalang lompat melompat atau ‘pengkhianat’ keluar parti dan menyertai parti lain. Cuma masalahnya lompatan atau pengkhianatan menyebabkan kerajaan tumbang bukannya memperkukuhkan kerajaan.

Namun hari ini, PH dan serpihan PH tidak dapat menerima realiti sebenar sebaliknya masih menuding jari antara satu sama lain lebih-lebih lagi setelah mantan Peguam Negara Tommy Thomas pilihan PH ‘bersuara’ melalui memoirnya.

Mantan Perdana Menteri (PM), Dr Mahathir Mohamad menyatakan sebab yang benar-benar menjatuhkan PH adalah pemilihan Anwar Ibrahim untuk menjadi PM ketika membuat pengakuan di hadapan Yang di-Pertuan Agong pada Februari 2020.

Dr Mahathir menegaskan, sekiranya pada waktu itu pemimpin PH sepakat memilih namanya sebagai PM, segala-galanya yang terjadi sekarang tidak akan berlaku.

Beliau turut menyalahkan Kit Siang kerana menyokong Anwar sebagai calon PM.

Namun Kit Siang menegaskan keputusan PH untuk menyokong Anwar sebagai PM  — selepas peletakan jawatan secara mengejut oleh Mahathir — dibuat secara sebulat suara oleh semua parti komponen PH — DAP, PKR, dan Amanah.

Naib Presiden PKR Mohd Shamsul Iskandar Md Akin pula berkata, punca kejatuhan sebenar PH adalah kerana Dr Mahathir meletakkan jawatan sebagai PM tanpa berbincang dengan pemimpin komponen lain.

Nampaknya sama ada secara langsung atau tidak secara langsung PH adalah punca sebenar kejatuhan PH atau kehilangan jawatan PM.

Sama ada PRU atau menyerahkan kembali kerajaan kepada PH, buat masa ini kedua-dua pilihan itu tidak perlu diketengahkan lagi kerana tumpuan sekarang adalah menyelesaikan isu pandemik Covid-19 serta kesan terhadap ekonomi.

Kerajaan Perikatan Nasional (PN) bukannya mahu mengadakan PRU itu sekarang. UMNO yang mendesak pun mahu PRU selepas situasi pandemik reda.

Mungkin, PRU jika terpaksa diadakan juga haruslah sekurang-kurangnya setelah sebilangan rakyat telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Seperkara lagi penggal bagi Dewan Rakyat pun sudah menghampiri tiga tahun. Dan biasanya penggal itu akan berakhir sebelum genap lima tahun, mungkin memasuki penghujung tahun keempat atau awal tahun kelima boleh dilangsung PRU.

Maka tidak perlu kerajaan yang ada pada hari ini menarik brek di tengah jalan ketika dihambat Covid-19 dan rakyat kebanyakan sedang kesusahan. Biarkan sahaja ‘kenderaan’ yang ada bergerak asal tidak masuk ke dalam gaung.

Pertukaran kerajaan hanya membazirkan masa dan merugikan. Mungkin yang untung orang politik. Terimalah hakikat kuasa PH sudah hilang, tidak perlu berbalah siapa bersalah dan siapa yang benar. PRU masih pilihan terbaik.

Bagaimana mahu diserahkan kembali kerajaan kepada PH apabila jumlah sokongan masih diragui atau menjadi teka teki sehingga ke hari ini.

Apakah dengan menyerahkan semula kerajaan kepada PH segalanya akan selesai ? Apakah jaminan tidak berlaku lagi rebutan kuasa? Lainlah sekiranya pandemik tiba-tiba hilang selepas peralihan kuasa berlaku.

Eloklah buat masa ini semua pihak terutama orang politik menumpukan perhatian untuk membantu memutuskan rantaian Covid-19 dan melihat ruang yang boleh membantu rakyat di kawasan masing-masing yang terkesan akibat Covid-19.

Pada masa yang sama perkukuhkan parti masing-masing untuk menghadapi PRU kerana PRU adalah pilihan terbaik menamatkan perbalahan politik. Bersabarlah. Andainya selepas darurat berakhir, pandemik berkurangan, kita pilih kerajaan baharu!

Related posts

Leave a Comment