AYER KEROH 26 Sept. – Kepemimpinan utama berperanan menjernihkan kekusutan dengan ilmu dan kebijaksanaan sambil memelihara martabat institusi, bukan membelasah ‘tiada adab, tiada tamadun’,” , kata Ahmad Zahid Hamidi.
Justeru Timbalan Perdana Menteri menegur pihak tertentu supaya jangan mudah melabel sesuatu tindakan sebagai ‘derhaka’ atau ‘biadab’ sebelum memahami kedudukan institusi, Perlembagaan serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.
“”Janganlah label derhaka dan biadab mendahului kefahaman tentang duduk perkara,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu.
Katanya, setiap pertikaian membabitkan institusi kesultanan dan pentadbiran negeri perlu dinilai berdasarkan kedudukan serta tanggungjawab setiap institusi terlebih dahulu, termasuk hak semua warganegara seperti yang dijamin Perlembagaan.
Beliau yang juga Presiden UMNO menegaskan demikian ketika berucap merasmikan ‘Musyawarah Nasional: Membongkar Polemik Tanah Melayu’ di Pusat Dagangan Antabangsa Melaka (MITC), di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi Musyawarah Nasional, Abd Ghani Othman.
Ahmad Zahid tidak menyebut siapa pihak tertentu yang dimaksudkan tetapi ketika di Hangzhou, China Anwar Ibrahim menyifatkan cubaan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim dan EXCO menurunkan takhta Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai biadab dan tidak bertamadun.
Perdana Menteri menegaskan, tiada mana-mana pihak dalam pentadbiran negeri mempunyai kuasa atau mandat untuk bertindak sedemikian.
“Menteri Besar dan EXCO yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” kata Anwar kepada media ketika berada dalam kereta api laju dari Shanghai menuju Hangzhou.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Pengasas Musyawarah Nasional, berkata UMNO sentiasa menjunjung institusi Raja dan tertib Perlembagaan, termasuk menghormati kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong serta Raja-Raja Melayu sebagaimana diperuntukkan Perlembagaan.
Katanya, perbezaan politik tidak seharusnya menghakis adab terhadap institusi diraja, manakala penghormatan kepada Perlembagaan mesti kekal waqi’ah (teguh) ketika sesuatu keputusan tidak menepati kehendak.
“Inilah pegangan yang mesti kita wariskan iaitu teguh mempertahankan prinsip, adil menghormati hak dan bijaksana mengurus perbezaan. Namun, kefahaman ini tidak tumbuh dengan sendirinya, (sebaliknya) perlu dipupuk melalui pendidikan, diperkukuh dalam kehidupan bermasyarakat yang dicerminkan oleh kepimpinan.
“Sebab itu, wacana ini (forum Musyawarah Nasional) mesti membawa kita kepada tindakan yang lebih berkesan,” katanya.
