Kalah bergaya selepas kempen agresif

IMPIAN Pakatan Harapan (PH) untuk menguburkan UMNO di Johor, tidak kesampaian walaupun salah seorang pemimpinnya sudah membaca ‘talkin’ menjelang hari pengundian Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRU DN).

Pada masa yang sama hasrat Perikatan Nasional (PN) sekadar bertanding untuk menjadi pembangkang ditolak bulat-bulat. Apa guna bertanding sekadar mahu jadi pembangkang?

Sebaliknya UMNO diketuai ‘budak’ bernama Onn Hafiz Ghazi menambah tiga kerusi, hampir menguburkan Amanah dan PKR apabila menang 36 kerusi, tewas satu kerusi dengan majoriti kecil.

Manakala rakan komponen Barisan Nasional (BN) –  MCA dan MIC turut mencemaskan DAP, walaupun parti roket itu tidak dihumban seperti dilakukan pengundi di Sabah.

Bangsa Johor membuat keputusan untuk terus memperkukuhkan kerajaan pimpinan BN tanpa dipengaruhi kempen agresif diketuai Anwar Ibrahim seorang ‘bapa’ bergelar Perdana Menteri yang turun berkempen sebagai tokoh pembangkang.

Corak kempen PH ternyata tidak dapat diterima oleh Bangsa Johor malahan menimbulkan kemarahan dan kebencian.

Ketika ‘parti kerajaan’ melihat Onn Hafiz bersama pimpinan di peringkat pusat dan negeri sebagai ‘musuh’ yang diserang habis-habisan, BN berkempen secara tenang, bukan seperti lagak pembangkang yang mempamerkan kesombongan, keangkuhan, bebal serta menabur janji ‘bulan bintang’ yang kebanyakan orang sudah tahu pengakhirannya.

Ketika pemimpin PH melaungkan supaya Bangsa Johor memilih kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan Pusat, mereka lupa dalam Kabinet Kerajaan Perpaduan itu ada BN dan parti-parti dari Sabah dan Sarawak. Ia bukan kerajaan milik PH.

Tiada siapa tahu pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang rakyat akan memilih PH, BN atau PN di peringkat Pusat.

Adakah keputusan Bangsa Johor semalam memberi isyarat bahawa BN perlu kembali sebagai peneraju Kerajaan Malaysia dengan syarat BN melakukan perubahan sesuai dengan masa dan keadaan?

Ketegasan Onn Hafiz untuk tidak bersama duduk semeja dengan DAP sebagai pemerintah di Johor perlu diberi perhatian oleh UMNO di peringkat pusat supaya sindiran UMDAP tidak lagi menghantui anggota parti serta penyokong bukan ahli.

Tidak mahu semeja bersama DAP bukan bermaksud enggan bekerjasama dengan  kaum Cina, seperti gambaran salah berunsur rasis yang dlaungkan ketika kempen berlangsung. Harus diingat parti dan kaum adalah dua perkara berbeza.

Hakikatnya UMNO boleh sahaja bersama MCA yang secara total keanggotaannya terdiri daripada kaum Cina. Begitu juga MIC.

Justeru dalam hal ini, Bangsa Johor telah menunjukkan isyarat jelas dengan memberi kemenangan penuh bergaya kepada MCA dan MIC yang mewakili kaum Cina dan India yang secara tidak langsung menjelaskan kepada umum bahawa UMNO boleh duduk semeja bersama kaum lain.

Daripada 15 kerusi yang ditandingi, MCA menang lapan kerusi termasuk merampas empat kerusi DAP berbanding DAP yang bertanding 17 kerusi hanya menang enam sementara MIC menang kesemua empat kerusi yang ditandingi.

Maksudnya tidak timbul soal kaum dalam kenyataan Onn Hafiz yang tidak akan duduk semeja dengan DAP untuk membentuk kerajaan.

Pastinya ramai yang ternanti-nantikan apakah di negeri lain malahan di peringkat Pusat tidak akan ada kerjasama dengan DAP semasa PRU, dalam erti kata lain bergerak secara solo, seperti di Johor iaitu berdepan PKR, DAP dan Amanah.

UMNO pada akhirnya perlu kembali kepada asal, dan bersama DAP hanyalah untuk membentuk kerajaan. Hakikatnya ramai anggota UMNO dan penyokong atas pagar atau bukan ahli terluka dengan ‘UMDAP’.

Justeru PRU DN Johor perlu menjadi titik tolak untuk UMNO bergerak secara solo.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment