Penjelasan rasmi PN dalam dua minggu

KOTA BHARU 26 Sept. – Perikatan Nasional (PN) akan mengemukakan penjelasan rasmi kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) dalam tempoh dua minggu berhubung isu penggantungan gabungan itu.

Setiausaha Agungnya, Takiyuddin Hassan, berkata PN kini dalam proses akhir menyiapkan jawapan lengkap selain mengadakan perbincangan susulan serta memohon perjumpaan khas dengan Ketua Pengarah RoS.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Karnival Cakna Rakyat Bunut Payong, di sini hari ini.

RoS sebelum ini mengeluarkan perintah penggantungan terhadap semua aktiviti PN berkuat kuasa 23 September lalu mengikut Subseksyen 13(2A) Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832).

Mengenai kebarangkalian PN akan dibatalkan oleh RoS, Takiyuddin yang juga Ahli Parlimen Kota Bharu berkata, mereka tidak dapat menjangka perkara berkenaan.

“Jika penjelasan kita memuaskan hati RoS, mungkin tidak batal. Kalau tidak memuaskan, mungkin batal, Itu sahaja.

“Kita tidak dapat jangka apa motif di sebalik tindakan kerana notis tunjuk sebab dikeluarkan ketika hari Ketua Menteri Melaka mengisytiharkan pembubaran Dewan Undangan Negara (DUN),” katanya.

Dalam pada itu Takiyuddin menegaskan penggantungan gabungan itu tidak menjejaskan rundingan dengan Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Dewan Negeri (PRu DN) Melaka.

Katanya, rundingan antara kedua-dua gabungan itu masih berjalan dan sudah mencapai lebih 50 peratus, namun pengagihan kerusi masih belum diputuskan dan terus dalam perbincangan.

“Apa yang saya boleh tegaskan, penggantungan PN tidak menjejaskan rundingan PN dan BN. Perbincangan masih berjalan seperti biasa. Berapa kerusi kita dapat itu belum diputuskan, namun perundingan dan perbincangan adalah positif.

“Kita memang positif dan kita optimis dapat melaksanakan agenda penyatuan ummah di Melaka,” katanya.

NNN

Related posts

Leave a Comment