Jemaah masjid, surau lebih patuh SOP

SEMALAM, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Zulkifli Mohamad Al-Bakri memaklumkan, prosedur operasi standard (SOP) di masjid dan surau akan diperkemaskan susulan peningkatan kes positif Covid-19 di negara ini.

Tidak pasti apakah yang akan diperkemaskan. Setakat ini, tidak keterlaluan jika dikatakan institusi masjid dan surau adalah antara pihak yang lebih bersedia mematuhi SOP.

Jemaah masjid dan surau mungkin lebih berdisiplin, patuh dan jauh lebih baik mematuhi SOP berbanding ketika kunjungan di restoran, kedai, pasar atau pusat membeli-belah, majlis kenduri atau jamuan, kawasan rekreasi dan sebagainya.

Mereka juga jauh lebih baik ketika mengikuti kuliah Subuh, Maghrib, Dhuha atau khutbah Jumaat berbanding mereka di ‘luar sana’ termasuk orang politik ketika berkempen dan berceramah semasa pilihan raya.

Bandingkan situasi semasa mahu memasuki premis berkenaan. Contohnya di surau dan masjid, jemaah bukan sekadar patuh ketika melangkah masuk tetapi juga ketika berada di dalam masjid atau surau.

Tidak seperti restoran atau pusat membeli-belah misalnya, kebanyakan hanya patuh ketika hendak masuk – memakai pelitup muka, memeriksa suhu dan mengimbas nama atau daftar kehadiran –  tetapi semasa di dalamnya tiada jaminan untuk mereka menjaga penjarakan fizikal.

Mungkin tidak semua jemaah patuh tetapi sebahagian besarnya mematuhi peraturan walaupun ada kelonggaran di sana sini atau pengecualian, mengikut negeri tetapi rata-ratanya pengurusan masjid amat mengambil berat SOP ini. Mungkin mereka sudah serik apabila masjid dan surau ditutup.

Memang benar berlaku keadaan tidak seragam berhubung SOP ini kerana masing-masing terletak di bawah bidang kuasa negeri masing-maisng walaupun di peringkat Persekutuan telah membuat pelbagai kelonggaran.

Contohnya membawa sejadah. Ada negeri yang tidak lagi mewajibkan demikian dan ada yang terus mewajibkannya malahan amat mengambil berat tanpa kompromi. Jika ada pun mereka yang tidak menatuhi saiz standard sejadah.

Namun penjarakan fizikal tidak ada kompromi kerana semua masjid mematuhinya, sama seperti yang sedang berlaku di Masjidilharam dan Masjid Nabawi. Begitu juga dengan pemakaian pelitup muka.

Pengurusan masjid dan surau patuh soal pendaftaran, pemeriksaan suhu, tiada majlis jamuan, hadkan tempoh kuliah, tiada pergerakan tabung bergerak, berkumpul, kolah untuk wuduk dikosongkan dan beberapa perkara lain.

Mengambil contoh di Selangor (sebab saya tinggal di Selangor) pengalaman berada di beberapa masjid, ada yang begitu mengambil berat SOP dengan menyediakan laluan masuk dan keluar, menyediakan pelitup muka dan penggunaan sejadah.

Ada jemaah tanpa pelitup muka diminta mencari pelitup muka (mask) dan dalam hal ini, ada masjid dan surau menyediakan mask secara percuma atau secara sumbangan RM1 kepada tabung masjid atau surau.

Jemaah masih digalakkan berwuduk di rumah, satu amalan yang memang digalakkan. Sekurang-kurangnya mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwuduk ketika keluar rumah.

Sejadah pula ada yang kompromi dan ada yang tidak. Ada juga aturan, mereka yang tidak membawa sejadah diminta solat di luar dewan utama. Dalam hal ini, masih ada kompromi saiz  ‘sejadah’ yang hanya muat untuk lapik muka waktu sujud.

Di sesetengah negeri, sejadah bukan lagi syarat wajib memasuki masjid tetapi

dalam hal ini, mewajibkan sejadah mengajar kita untuk sedia dengan sejadah di dalam kenderaan atau di dalam beg ketika keluar rumah.

Sejadah akan mengingatkan tentang solat dan sejadah membolehkan lebih selesa untuk solat ketika berada di premis atau kawasan tanpa surau. Maknanya kita boleh solat di mana sahaja apabila sampai waktunya.

Tetapi penjarakan fizikal tidak ada kompromi. Saf tidak boleh dirapatkan sebaliknya luruskan sahaja saf mengikut tumit. Cuma timbul persoalan ketika solat jenazah kerana ada yang rapat seperti biasa dan ada masjid sama seperti SOP solat lima waktu.

Namun secara keseluruhan, SOP di masjid dan surau masih kekal walaupun sedikit sebanyak ada kelonggaran, tidak begitu ‘menekan’ jemaah. Maksudnya dalam senarai SOP itu, ada yang melanggar beberapa peraturan contohnya tidak merekodkan kehadiran, tidak memeriksa suhu dan saiz sejadah tidak standard.

Tetapi hakikatnya mereka patuh penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka. Dan ada juga yang ‘kurang sihat ’ seperti batuk atau bersin dengan sedikit selesema masih hadir untuk berjemaah.

Adalah menjadi budi bicara jemaah untuk menilai tahap ‘kesihatan’ mereka asalkan tidak memudaratkan jemaah lain sehingga akhirnya boleh membawa kepada penutupan masjid atau surau.

Justeru, mungkin beberapa kelonggaran ini akan diperkemaskan tanpa menyulitkan.

Setiap jemaah bertanggungjawab untuk memastikan mereka selamat dan patuh ketika di masjid dan surau supaya tidak menyusahkan jemaah lain. Apa yang penting kita jaga kita, kita jaga jemaah kita, jemaah jaga kita.

Related posts

Leave a Comment