Kluster Kau Sing dan Embun

PUTRAJAYA : Dua lagi kluster Covid-19 dikenal pasti hari ini, Ahad 4 Oktober iaitu Kluster Kau Sing di Tawau, Sabah dan Kluster Embun di Hulu Langat, Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes indeks Kluster Kau Sing iaitu kes ke-10755 melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 29 tahun yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan individu bergejala pada 25 September 2020 dan dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan enam lagi kes positif dikenal pasti.

Daripada tujuh kes yang dikesan positif, sebanyak lima kes merupakan warganegara Malaysia dan dua kes bukan warganegara. Mereka telah dimasukkan ke Hospital Tawau, Sabah.

Sehingga 4 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 27 individu telah disaring.

Keputusan saringan menunjukkan tujuh dikesan positif Covid-19, sembilan individu dikesan negatif dan 11 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan

Kluster Embun di Hulu Langat, Selangor merupakan kes ke-11147 melibatkan seorang lelaki warganegara Malaysia berumur 41 tahun yang dikesan positif Covid-19 melalui saringan individu bergejala pada 29 September 2020 dan telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Susulan itu, saringan kontak rapat telah dijalankan dan empat lagi kes positif dikenal pasti.

Semua kes positif ini melibatkan warganegara Malaysia. Mereka juga telah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan.

Kata beliau, sehingga 4 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 52 individu telah disaring. Keputusan saringan adalah lima positif, 21  negatif dan 26 masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan.

Related posts

Leave a Comment