MULAI awal bulan ini, se mua hentian pengangku tan awam tidak berhawa dingin, tempat makan berhawa dingin dan stadium terbuka sepenuhnya menjadi kawasan dilarang merokok. Begitu juga taman awam dan Taman Negara yang diwartakan. Pengumuman itu menjadikan lebih 20 kawasan awam disenaraikan sebagai zon larangan merokok. Bagi bukan perokok, langkah itu amat dialu-alukan. Bukan bermaksud menghalang perokok meneruskan tabiat atau ketagihan tetapi apa yang penting ialah bagi melindungi golongan majoriti bukan perokok daripada bahaya asap rokok. Anggaplah bukan perokok ini sebagai orang yang tidak berdosa, maka jangan babitkan mereka dengan kesalahan akibat merokok. Hormatilah hak ‘menghirup udara segar’ terutama bagi kanak-kanak dan wanita mengandung.
Hargai usaha Kementerian Kesihatan untuk mengurangkan jumlah perokok serta menggalakkan perokok untuk berhenti merokok. Maka memperbanyakkan zon larangan merokok merupakan salah satu langkah yang diharap dapat membudayakan amalan tidak merokok serta mewujudkan persepsi bahawa perbuatan merokok adalah sesuatu perbuatan yang tidak normal. Persoalannya mampukah perokok mematuhi peraturan itu? Pada masa yang sama sejauh mana pula penguatkuasa bersedia untuk mengambil tindakan terhadap manamana individu yang melanggar peraturan ini? Kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan boleh memperluaskan kawasan larangan merokok di segenap penjuru muka bumi Malaysia ini tetapi isunya sejauh mana larangan itu mampu dipatuhi? Apabila sudah ketagih, tidak ada yang mampu menghalang. Walaupun harga rokok mahal tetapi ‘tidak membebankan’ terutama perokok tegar. Naiklah berapa harganya tetapi merokok tetap merokok. Mereka akan mencari kesempatan sama ada di dalam bilik pejabat berhawa dingin atau tandas sehingga bau asap rokok itu ‘melekat’ kepada baju orang lain. Minum secawan kopi pun masih mahu merokok. Contohnya di kawasan rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah yang menjadi tempat persinggahan pengguna lebuh raya. Di sini perokok akan tetap melepaskan ketagihannya. Atas alasan untuk menghilangkah rasa mengantuk, mereka tetap merokok di R&R. Apa nak dikata, tetapi biarlah di luar kawasan awam menjamu selera. Carilah tempat yang agak jauh daripada orang ramai supaya mereka tidak terhidu asap rokok. Begitu juga di taman awam. Bagi bukan perokok, agak merimas kan apabila ketika berjoging atau bersiar-siar di taman awam, ada perokok yang dengan selamba merokok. Jelaslah, ketagihan dan kesihatan dua perkara berbeza.
Sekali lagi, jagalah keselesaan bukan perokok terutama yang berkeluarga untuk beriadah supaya tidak diganggu oleh asap rokok. Jangan rosakkan suasana nyaman taman itu. Sekadar mewartakan kawasan baharu tidak memadai tanpa tindakan susulan. Kaedah penguatkuasaan perlu dilihat semula. Bagaimana mahu menguatkuasakannya supaya ia menjadi pengajaran khususnya kepada perokok? Sekadar memberi amaran tidak akan membawa apa-apa kesan. Contohnya Amaran Oleh Kerajaan Malaysia seperti tertera di setiap kotak rokok. Letaklah gambar-gambar ngeri mengenai bahaya merokok tetapi ia tidak mematahkan semangat perokok. Berapa ramai perokok yang mengisytiharkan rumahnya zon larangan merokok?
Berkaitan penguatkuasaan, tidak pasti berapa ramai yang telah didenda kerana merokok di tempat awam ini. Contohnya Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam pekelilingnya melarang semua kakitangan awam merokok di tempat kerja masing-masing tidak kira dalam pejabat atau pekarangan jabatan. Sesiapa yang didapati bersalah melanggar peraturan ini boleh didenda sehingga RM10,000 atau dipenjara sehingga dua tahun. Adakah kakitangan yang didenda sehingga jumlah itu atau dipenjara? Di se setengah jabatan masih ada ruang merokok, contohnya di koridor kantin. Tanda larangan merokok tidak dipeduli. Kenapa begitu?
Semuanya bergantung kepada sikap. Selagi perokok tidak sedar bahawa merokok itu memberi kesan terhadap kesihatan diri dan orang lain termasuk menjejaskan zuriat, maka selagi itu mereka tidak peduli hak orang lain.
Seorang sahabat dalam komennya mengenai rokok memberitahu: Seorang kaki hisap rokok berkata, merokok adalah hak peribadinya. Apa pun bahananya adalah risiko dirinya sendiri. Bukankah hidup adalah milik diri sendiri?. Sahabat itu menjawab: Tidak demikian. Baik di dalam ajaran agama mahupun pertimbangan akal, hidup yang anda nikmati adalah milik Tuhan yang diperintahkanNya untuk digunakan demi maslahat anda, keluarga, masyarakat dan umat manusia. Anda mempunyai kewajipan terhadap mereka. Korbankan kepentingan peribadi demi kepentingan orang lain. Ini jelas berbeza dengan dengan perokok tegar yang mengutamakan kepentingan sendiri walaupun orang lain diancam bahaya.
Ada juga cadangan supaya institusi agama seperti masjid memainkan peranan untuk mendidik masyarakat. Contohnya umumkan atau beri peringatan kepada jemaah solat Jumaat bahawa merokok difatwakan haram. Ajak jemaah bertekad untuk berhenti merokok. Tekankan kepada mereka bahawa semua premis awam termasuk masjid adalah kawasan bebas asap rokok. Sila hormat hak semua untuk persekitaran selamat. Kerajaan sudah mengambil pelbagai langkah untuk mendidik masyarakat. Suatu masa dahulu, syarikat rokok menjadi penaja utama pelbagai program sukan tetapi disebabkan bahaya rokok, kerajaan tidak membenarkan penajaannya. Iklan rokok diharamkan. Ada juga syarikat yang menghasilkan pelbagai barangan di sebalik jenama rokok untuk muncul iklan di media cetak dan elektronik. Langkah itu juga diharamkan. Sejak itu tidak ada lagi iklan rokok dan yang ada sekarang, iklan minuman keras yang jelas haram!
UMA130217010C_2#