Bukan sekadar memperkasa undang-undang syariah

HIJAU, kuning, merah serta biru sudah mewarnai pelbagai perhimpunan di Kuala Lumpur serta seluruh negara sebelum ini. Sabtu lalu giliran warna ungu. Apa pula warna selepas ini? Perhimpunan bertemakan warna apa pula yang bakal diadakan? Setiap perhimpunan ada matlamatnya. Asalkan dibuat secara aman, tidak mengganggu urusan orang lain sehingga menjejaskan perniagaan dan pendapatan. Syukurlah perhimpunan bagi menyatakan sokongan terhadap Rang Undang-Undang 355 di Padang Merbok, Kuala Lumpur pada hari Sabtu lalu berjalan lancar. Sejak pagi lagi, orang ramai sudah berkumpul di situ. Pagi itu, ketika memasuki tren komuter dari arah selatan menuju Kuala Lumpur, saya terserempak dengan sekumpulan anak muda lelaki dan wanita berpakaian ungu. Mungkin golongan pelajar institusi pengajian tinggi. Mereka pergi tanpa bekal kosong.

Di tangan seorang anak muda itu kelihatan sebuah buku penjelasan mengenai RUU 355. Seorang lagi anak muda seolah- olah sedang berlatih berpidato, bercakap sendirian mengenai kewajaran memperkasakan undang-undang syariah. Terdengar serba sedikit hujah yang dikemukakannya. Dalam erti kata lain, anak-anak muda ini pergi untuk menyatakan sokongan bukan sekadar suka-suka bagi meramaikan khalayak perhimpunan. Jika ada yang bertanya mereka di tengah jalan mengenai tujuan mereka ke sana, sekurang-kurangnya sudah ada jawapan. Tengah hari itu, ketika menjengah di Padang Merbok, ramai anak muda yang hadir memberi sokongan. Ibu bapa pula membawa anak-anak remaja dan anak kecil dengan baju berwarna ungu serta lilitan di kepala. Pergerakan keluar masuk orang ramai yang datang dari seluruh pelosok negara berlaku sepanjang hari itu sehingga ke kemuncaknya pada sebelah malam. Ada yang pulang sebelum petang.

Ada juga peserta perhimpunan yang meninggalkan kawasan itu menjelang maghrib dan tidak kurang juga yang setia di situ untuk mendengar ucapan tetamu yang diundang sehingga bersurai. Apa yang penting, kebanyakan pengunjung sekurang-kurangnya mengambil tahu dan ingin menunjukkan sokongan terhadap cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau Akta 355. Tidak pasti sejauh mana keseluruhan hadirin faham atau tidak mengenai isu atau sekadar menjadi ikut-ikutan kerana bimbang dikatakan tidak menyokong sekiranya tidak turut serta. Sama ada mereka faham atau tidak, apa yang jelas, mereka begitu bersemangat ingin melihat undang-undang syariah diperkasa.

Mereka dan generasi akan datang bersedia dikenakan hukuman yang lebih berat berbanding sekarang sekiranya melakukan kesalahan. Jika mereka patuh dengan tatacara kehidupan Islam, mereka mungkin terlepas daripada hukuman itu. Begitu juga bagi orang bukan Islam. Tidak ada sebab mereka membantah pindaan akta itu kerana ia tidak menyentuh hak orang bukan Islam. Rotan tidak perlu dipatahkan! Perlembagaan Persekutuan juga telah menyatakan bahawa Mahkamah Syariah hanya menyentuh orang Islam.

Hukuman untuk dijadikan pengajaran dan mengingatkan seseorang itu berfikir berkali-kali sebelum melakukan kesilapan. Hukuman apa sekali pun tidak akan terpakai sekiranya seseorang itu tidak melakukan kesalahan. Kenapa harus takut jika tidak melakukan kesalahan? Kadang-kadang, hukuman ringan yang dianggap tidak setimpal dengan kesalahan menyebabkan orang tidak takut untuk melanggar peraturan. Mereka malahan mungkin mengulangi kesalahan selepas membayar denda ringan yang dikenakan atau dikurangkan hukuman atas kebijaksanaan pihak pembela. Sejak kebelakangan ini, pelbagai pihak menyuarakan berkaitan undang-undang lapuk. Tidak ketinggalan berkaitan judi. Adakah selepas ini ada pihak yang bersedia mengadakan perhimpunan menggesa supaya ‘memperkasakan’ undang-undang judi?

Apakah untuk memperkasakan undang-undang lain juga perlu diadakan perhimpunan? Mengapa tidak melihat tujuan memperkasakan undang-undang ini adalah untuk mendidik masyarakat supaya menjadi lebih baik dan menghormati antara satu sama lain? Kegagalan sistem undang-undang yang dicipta manusia juga turut menjadi punca kepada berlakunya kejadian jenayah atau salah laku lain. Manusia bukan sahaja tidak takut dengan larangan dalam agama tetapi juga hukuman yang dikenakan. Berbalik kepada undang-undang, banyak lagi hukuman yang perlu diperkasakan. Bukan sekadar undang-undang syariah.

Sebelum ini ada kes pesalah hanya didenda RM100 kerana menghina anggota polis yang telah menjalankan tanggungjawabnya. Memang mudah bagi pesalah mengaku salah tetapi penghinaan yang dilakukan bukan sekadar mengguris hati dan perasaan seorang anggota polis tetapi anggota-anggota lain yang telah lama berkhidmat di dalam pasukan yang sama.

Jika begitu ringan hukumannya, entah berapa ramai yang akan menghina polis lebih-lebih lagi dalam era teknologi ini. Seperti kata Timbalan Perdana Menteri, Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini, kita mahu hukuman yang lebih sesuai untuk tempoh 30 hingga 50 tahun akan datang. Dunia semakin berubah. Teknologi semakin canggih dan apa yang dirangka hari ini belum tentu sesuai atau relevan untuk 30 tahun akan datang. Baru-baru ini juga, Peguam Negara, Mohamed Apandi Ali berkata, kebanyakan undang-undang di negara ini telah lapuk. Ada undang-undang yang dikuatkuasakan sejak tahun 1950-an. Beliau mengambil contoh Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336) yang masih mengenakan denda RM100. Hukuman atau denda yang dikenakan sepatutnya mengambil kira faktor persekitaran yang semakin mencabar. Apakah nilai RM100? Dengan RM100, apa yang boleh dibeli pada tahun 1955 dan 2017?

Undang-undang harus diteliti selepas 30 tahun dengan mengambil kira faktor persekitaran kerana denda yang terlalu ringan tidak mencerminkan ketegasan kerajaan membendung jenayah. Begitu juga dengan Akta Rumah Judi Terbuka 1953. Hukuman yang dikenakan adalah tidak relevan lagi pada masa sekarang. Amat wajar undang-undang lapuk yang memasuki usia ‘warga emas’ dikaji semula sama ada undang-undang syariah atau sivil. Hukuman atau denda biarlah setimpal dengan kesalahan. Adakah ada pihak yang akan membantah atau menganjurkan perhimpunan bagi menolak usaha memperkasakan undang-undang contohnya berkaitan judi?

Semua pihak perlu menyelak semula undang-undang atau peraturan yang ketinggalan masa. Penyelarasan juga perlu supaya tidak timbul tuding menuding jari ketika mahu bertindak. Tanpa penyelarasan, akhirnya pesalah yang untung dan pihak berkuasa menjadi seperti ‘orang yang salah’.

UMA200217010C#

Related posts

Leave a Comment