Isu harga seperti ‘bangau oh bangau’

MENYELAK kembali isu ‘harga naik’ atau ‘naik harga’, mungkin kita masih ingat­ apabila kerajaan me­ngambil langkah mengurangkan subsidi bahan bakar menyebabkan harga petrol RON95 dan diesel naik 20 sen seliter pada September 2013. Ketika itu kebimbangan banyak pihak ialah mengenai kenaikan harga barang dan perkhidmatan. Begitu juga apabila kerajaan mengumumkan pengurangan subsidi gula semasa pembentangan Bajet 2014. Harga gula naik 34 sen menjadikan sekilogram gula RM2.85. Sekali lagi timbul kebimbangan mengenai harga makanan dan minuman. Kenaikan tarif elektrik juga mendorong kenaikan harga barang.

Pendek kata, setiap kali harga petrol, tarif air dan elektrik naik, maka harga barang lain akan ‘tumpang semangkuk’. Begitulah tindak balas yang diterima­ setiap kali kenaikan harga minyak­ diumumkan. Peniaga di semua peringkat menaikkan harga barang sama ada peniaga barang-barang runcit atau peniaga makanan. Gula, tepung, minyak masak dan macam-macam lagi naik. Kenaikan harga petrol dikaitkan dengan kos atau caj pengangkutan yang dikenakan. Maka berlakulah kenaikan harga roti canai, teh tarik, kuih-muih dan pelbagai lagi. Ada juga yang mengurangkan saiz roti canai dan pada masa yang sama menaikkan harga.

Banyak pihak yang amat terasa kenaikan apabila mereka makan dan minum di kedai, gerai atau warung. Bagi peniaga, alasan yang sering digunakan bagi menaikkan harga ini biasanya tentulah di­ sebabkan kenaikan harga barang yang dibeli sama ada secara runcit atau borong. Biasanya peniaga akan menyalahkan harga yang dikenakan oleh peruncit. Pihak peruncit pula menyalahkan pemborong. Akhirnya­ pemborong menyalahkan pembekal. Pembekal pula tentulah akan menyenaraikan pelbagai kos yang menyebabkan mereka meletak harga yang tinggi termasuk kenaikan harga petrol, caj pengangkutan yang tinggi, kenaikan tarif elektrik, kos buruh (gaji minimum) dan pelbagai alasan lain.

Masing-masing mahu mempertahankan diri. Dalam erti kata lain menuding jari mencari silap pihak lain. Macam lagu Bangau oh bangau. Cuba ubah lirik kepada Harga oh harga, kenapa tidak turun…Peniaga, peruncit, pemborong dan pembekal akan menyalahkan satu sama lain. Pelbagai alasan yang akan digunakan untuk mewajar-kan kenaikan harga itu ketika ‘saat-saat genting’ pengguna atau orang ramai bercakap mengenai kenapa
harga barang tidak turun selepas harga petrol dikurangkan. Percayalah, selepas ini cukai barang dan perkhidmatan (GST) juga akan dijadikan ‘kambing hitam’ untuk mewajarkan pengekalan harga ini.

Bukan mudah untuk menurunkan harga. Tidak sama dengan langkah menaikkan harga. Hari ini harga petrol naik, esok harga barang akan terus naik. Siapakah yang harus dipersalahkan? Pengguna boleh menggunakan hak untuk memboikot tetapi selama mana? Apakah kesan akibat pemboikotan itu? Berapa hari atau berapa minggu pengguna sanggup boikot? Amat sukar untuk menurunkan harga barang yang sudah lama ‘diterima’ oleh orang
ramai. Kebiasaannya, bantahan, kritikan, kecaman dan pemboikotan tidak bertahan lama. Hangat-hangat tahi ayam. Sejauh manakah peniaga boleh terasa kesannya jika pengguna memboikot? Mampukah peniaga atau pemilik restoran menurunkan harga makanan, pengusaha bas ekspres menurunkan harga tiket, pemilik lori mengurangkan caj pengangkutan dan sebagainya?

Berapa ramai peniaga yang akan gulung tikar jika pengguna boikot? Ramai yang tidak yakin harga pelbagai barangan atau perkhidmatan akan diturunkan. Secara sinis, mereka berkata, hanya hujan yang turun. Memang hujan tidak pernah naik. Peniaga, peruncit, pemborong dan pembekal akan memberi pelbagai alasan. Jika turun pun, akan mengambil masa. Alasannya, mereka masih menggunakan stok lama yang dibeli pada harga yang tinggi. Hakikatnya semasa menaikkan harga akibat harga petrol naik, tidak timbul pula stok lama yang dibeli pada harga yang lebih rendah.

Baru-baru ini, 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menganjurkan kempen selama tiga bulan mendesak pengeluar dan peniaga menurunkan harga air mineral 500 mililiter (ml) yang dijual pada harga melebihi RM1. Bukan air mineral sahaja tetapi air minuman pun dijual pada harga lebih tinggi. Memang di pasar raya besar, kita
boleh membeli air mineral ini pada harga 45 sen atau 50 sen sahaja tetapi di luar mencecah RM1 atau lebih. Di mana silapnya? Harga sebegini bukanlah baharu. Sebelum ruangan Selak ini wujud pun, saya pernah menulis mengenai harga air mineral dan minuman yang tidak sepatutnya di majalah MASSA sekitar tahun 2000 dan
selepas itu semasa mengendalikan Mingguan Malaysia kira-kira 10 tahun lalu. Kenapa sampai sekarang tidak selesai isu ini? Di manakah kekuatan pihak pengeluar dan penjual? Apa pula kekuatan dan kelemahan pengguna?

Setakat ini, pihak yang mampu menurunkan harga hanyalah pengusaha stesen minyak. Mereka sudah pun menurunkan harga petrol dan diesel seperti yang diumumkan. Ia bukan rahsia, tidak boleh disembunyikan. Itu pun ada pihak yang mendakwa pengusaha stesen minyak juga mengambil kesempatan dengan menggunakan kaedah tertentu bagi mengelakkan kerugian. Samalah kaedah yang digunakan oleh sesetengah peniaga yang mengubahsuai alat timbang untuk ‘mencuri’ timbangan atau pemandu teksi yang ‘mengganggu’ meter mereka
untuk mendapatkan tambang lebih. Ketika pihak penguat kuasa menetapkan harga bagi barangan mengikut sukatan, masih ada yang berani ‘mencuri’ keuntungan secara salah, inikan pula apabila kerajaan tidak menetapkan harga.

Pengguna kita pula pelbagai. Ada yang tidak merungut apabila harga secawan teh tarik atau kopi bersama nasi lemak bungkus berlipat kali ganda harganya di kedai yang bertaraf ‘A1’ tetapi yang tidak mampu, harga di gerai, warung atau medan selera yang tidak turun harga akan menjadi rungutan yang tiada kesudahannya. Mungkin ramai yang sudah tidak kisah dengan harga itu jika mereka ini terdiri daripada kumpulan pengguna yang ‘hidup’ di restoran, cafe atau coffee house berjenama. Harga dua biji telur ayam kampung separuh masak dan satu set roti bakar di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) hanya RM2.50 tetapi cuba tengok harga di coffee house atau restoran yang ada kelas ini. Boleh dapat RM2.50 untuk set itu? Begitu juga harga makanan dan minuman di kantin sekolah. Bagaimana nak turun, jika bahan yang dibeli masih mahal?

Kita mengalu-ngalukan langkah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menawarkan harga lebih murah di pasar tani di seluruh negara. Walaupun tidak semua pengguna berkesempatan mengunjungi pasar tani dan tidak semua barang boleh diperoleh di sana tetapi sekurang-kurangnya penurunan harga 5 hingga 20 peratus barangan
industri asas tani segar, kering dan diproses dapat mengurangkan bebanan. Tahniah kepada menterinya, Ismail Sabri Yaakob yang ‘berani bercakap dan berani bertindak’. Ismail Sabri bukan sekadar bercakap supaya pengguna memboikot peniaga yang tamak tetapi mengambil langkah untuk membantu mengurangkan beban pengguna.
Begitu juga langkah-langkah penguatkuasaan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan yang dipimpin oleh Hasan Malek.

Diharapkan, kementerian dapat meningkat dan memperkasakan Kedai Rakyat 1Malaysia (KRIM) atau Kedai Harga Patut. Begitu juga dengan Kedai Bergerak KRIM. Kita tidak mahu ada pihak yang hanya menangguk di air keruh atas kenyataan yang disalah tafsir. Jika termakan cili, rasailah pedasnya. Bantulah pihak kerajaan. Janganlah sekadar bercakap dan mengkritik tetapi tidak berbuat apa-apa untuk mempengaruhi pihak yang
bertanggungjawab memainkan peranan mengenai kedudukan harga barangan ini. Dekati pihak yang
memonopoli perniagaan. Selepas ini, mungkin ada dakwaan ‘bekalan kurang’ yang memaksa harga sekarang
kekal atau naik.

Diharapkan isu harga barang ini tidak dijadikan pula modal politik oleh pihak tertentu yang akhirnya menyebabkan rakyat menyalahkan kerajaan Barisan Nasional (BN). Mungkin ada pihak yang sengaja mengatur pakatan dalam kalangan persatuan/kumpulan penjual, pembekal atau pengeluar untuk tidak menurunkan harga dengan mencari alasan lain termasuk GST. Seperti yang pernah diselak sebelum ini, bukanlah mustahil ada pihak yang sengaja melakukan tindakan itu semata-mata mahu menjatuhkan imej kerajaan BN. Kerajaan perlu bertindak sebelum persepsi buruk ini menjadi ‘barah’ sehingga menjadi bahan kempen menjelang pilihan raya umum akan datang.

UMA090215012C#

Related posts

Leave a Comment