BERAKHIRKAH krisis dalaman MIC selepas Presi dennya, G.Palanivel mencadangkan untuk mengadakan pemilihan baharu bagi semua jawatan dalam parti itu? Sekurang-kurangnya, cadangan itu menampakkan kesungguhan MIC untuk melihat krisis dalaman itu ditamatkan walaupun tempoh pemilihan mungkin mengambil masa. MIC dan krisis bukanlah satu perkara baharu. Penyokong ‘menyerbu dan menyerang’ serta membuat kecoh di ibu pejabat MIC berhampiran ibu pejabat UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) itu bukanlah baharu. Jika ibu pejabat parti itu boleh bercakap atau berkata-kata seperti manusia, maka banyak yang akan diceritakan mengenai pergolakan yang berlaku di situ.
Menyelak kembali sejarah parti itu, siapa yang tidak tahu di bawah kepemimpinan S.Samy Vellu (memimpin MIC selama 31 tahun), parti itu tidak pernah ‘gersang’ dengan krisis. Disebabkan pengalamannya berpolitik, Samy Vellu berjaya menyelesaikan krisis dalaman itu walaupun beberapa tokoh yang dianggap mempunyai potensi sebagai pemimpin masa hadapan terpaksa ‘dikorbankan’. Bagi orang lama, tentunya masih ingat bagaimana usaha ‘penyingkiran’ dilakukan terhadap pemimpin-pemimpin kanan parti seperti M.G Pandithan, K. Pathmanaban dan S.Subramaniam. Begitu juga akibat krisis dalaman, MIC melahirkan beberapa parti serpihan termasuk Barisan Kemajuan India (IPF) dan Parti Demokratik India Malaysia (DMIP). IPF diasaskan oleh bekas Naib Presiden MIC, M.G Pandithan dan DMIP pula diasaskan oleh seorang lagi bekas Naib Presiden, V.Govindaraj. Beberapa parti berasaskan kaum India yang lain juga lahir sebagai alternatif kepada MIC iaitu Malaysia Makkal Sakti (MMS) dan Parti Bersatu India Malaysia (MIUP).
Akibatnya, masyarakat India mempunyai pelbagai parti politik walaupun jumlah mereka tidaklah sebesar mana jika dibandingkan dengan kaum Melayu dan Cina. Cukuplah pilihan yang ada bagi masyarakat India. Palanivel perlu ‘menyelamatkan’ MIC dan mengelakkan untuk melahirkan sebuah lagi parti baharu di tangannya jika krisis dalaman ini berterusan. Pada masa yang sama, beliau perlu mengelakkan diri daripada `dihalau’ oleh parti disebabkan sikapnya yang lebih gemar ‘tunggu dan lihat’ berbanding Samy Vellu. Jika Samy Vellu yang begitu hebat pun cuba disingkirkan melalui Gerakan Anti Samy (GAS), inikan pula Palanivel. Keputusan Palanivel untuk mengadakan pemilihan baharu ini memberi peluang kepada seluruh anggota MIC ‘mematikan’ krisis dalaman ini melalui undi dan kuasa mereka. Itu pun jika mereka terutama pem-impin yang dilihat menimbulkan desakan bersetuju dan menerima hasrat Presiden MIC itu.
Melalui cadangan mengadakan pemilihan baharu di semua peringkat, Palanivel mengambil langkah berani untuk turut mempertaruhkan kedudukannya sebagai Presiden (jika beliau mahu mempertahankan jawatan) yang dipilih secara sah sebelum ini. Begitu juga dengan Timbalannya, Dr. S.Subramaniam sama ada mahu mempertahankan jawatan atau mencabar untuk kedudukan No. 1 MIC.
Jika dituruti arahan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 5 Disember 2014, MIC diarah mengadakan pemilihan semula untuk jawatan tiga Naib Presiden dan 23 anggota Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) dalam tempoh 90 hari. Keputusan itu dibuat selepas mendapati salah laku dan penyalahgunaan kuasa dalam pemilihan yang diadakan semasa Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-68 pada 30 November 2013. Ini bermakna, kedudukan Palanivel dan Subramaniam terselamat, tidak perlu berhadapan dengan pemilihan semula. Mungkin, pemilihan ini akan mendedahkan siapa sebenarnya yang mahukan kuasa dan menjadikan Palanivel ‘kambing hitam’ untuk membolehkan mereka melangkah naik dengan lebih pantas.
MIC tidak boleh membiarkan parti itu sebagai tempat untuk pihak tertentu mengukuhkan kuasa politik semata-mata. Sudah tiba masanya Palanivel menunjukkan sedikit kuasanya selepas ‘berlembut’ dengan anggota parti dan membiarkan orang di bawahnya ‘bersuara dan bertindak’. Bukan bermaksud meminta Palanivel mencontohi gaya kepemimpinan Samy Vellu tetapi cukuplah beliau sekadar menunjukkan ketegasan dan keberanian untuk berhadapan dengan isu dalaman parti. Bertindak lebih pantas, turun ke ‘gelanggang’ dan sedia bersemuka dengan pihak yang terlibat. Palanivel yang cukup berpengalaman dalam arena politik MIC selepas Samy Vellu seharusnya merangka pelan politik yang strategik untuk menangani keputusan RoS. Di dalam politik, setiap pemimpin perlu pandai menggunakkan masa dan mengambil jalan pantas untuk menyelesaikan isu yang berbangkit bagi mengelakkan kontroversi.
Beberapa penganalisis politik sebelum ini menyifatkan, bantahan yang diadakan anggota MIC di luar dan di dalam premis ibu pejabat parti itu minggu lepas sebagai isyarat yang sebenarnya telah lama wujud agar Palanivel mengukuhkan parti itu serta mengubah gaya kepemimpinannya. Kata mereka, bantahan itu merupakan kemuncak kepada tuntutan agar Palanivel memperkemaskan dan memperkasakan kembali MIC jika beliau tidak mahu terus didesak supaya berundur oleh para pemimpin dan anggota parti itu. Mereka berpendapat Palanivel bukan sahaja perlu memimpin sebagai seorang pemimpin yang kuat, malah perlu dilihat menjalankan tanggungjawabnya sebagai pem-impin kerana banyak anggota parti itu serta anggota masyarakat melihat beliau sebagai ‘membisu’ dan ‘tidak kelihatan’ apabila MIC berdepan dengan isu penting.
Kini Palanivel muncul dengan cadangannya yang dibuat secara sendirian di Johor semalam. Satu keputusan yang akan turut dipertikaikan. Perkara ini juga akan dikemukakan kepada Perdana Menteri, Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Barisan Na-sional (BN). Bukanlah sesuatu yang menggemparkan jika cadangan ini pun ditolak oleh pihak tertentu atas alasan tidak dibawa berbincang. Tidak pasti apakah motif mereka sebenarnya. Adakah mereka mahu menyingkirkan Palanivel? Elok juga MIC mendedahkan bagaimana penyalahgunaan kuasa dan pelanggaran perlembagaan parti itu timbul selepas keputusan pemilihan khabarnya sudah dipersetujui oleh semua pihak. Kenapa pula RoS mengambil masa 10 bulan, menjelang perhimpunan agung parti itu untuk mengarahkan pemilihan semula diadakan? Siapakah di sebalik semua kemelut ini?
Mungkin juga ada kesilapan di pihak Palanivel yang terpaksa mengisi orang baharu bagi beberapa jawatan dalam parti selepas keputusan RoS itu. Begitu juga kesilapan menggantikan beberapa pengerusi perhubungan MIC ketika krisis dalaman berlaku. Apa pun semuanya sudah terjadi dan jalan keluar perlu dicari supaya masalah tidak berlanjutan. Realitinya MIC adalah sebuah parti yang memiliki kredibiliti tersendiri. Sekiranya kita selak sejarah perjuangannya sejak ditubuhkan, masyarakat India telah menerima dan memilih parti itu sebagai platform untuk mempertahankan hak mereka. Seperti mana yang kita sedia maklum, selepas kemunculan Hindraf pada tahun 2007, peranan MIC semakin men-cabar dan kritikal untuk mempertahankan status mereka sebagai sebuah parti yang dominan mewakili suara masyarakat India di negara ini. Faktor ini merupakan fenomema ataupun dilema politik yang sedang dialami oleh parti itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 dan Ke-13. Keputusan kedua-dua pilihan raya itu mencerminkan situasi sebenar MIC. Berdasarkan suasana politik semasa, MIC dan skop pemikiran pemimpinnya perlu berubah. Jangan bertindak secara emosional dan fanatik tanpa memikirkan implikasi terhadap masa depan parti.
MIC masih kukuh, cuma sikap dan perwatakan politik sekumpulan pemimpin dan ahli MIC sudah basi dan tidak relevan. Ingatlah cabaran pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang. MIC tidak boleh membiarkan tempoh untuk memperkukuhkan kedudukan parti terbuang begitu sahaja. Eloklah pemilihan baharu diadakan memandangkan pemilihan seterusnya pada tahun hadapan, 2016. Selesaikan krisis dalaman itu segera supaya semua pihak berpuas hati dan tidak timbul lagi pertikaian. Masyarakat terutama kaum India sudah meluat dan bosan melihat kontroversi.
Sama ada Palanivel mahu mempertahankan jawatannya atau tidak, pemilihan semula atau pemilihan baharu di semua peringkat diharap dapat menyelesaikan kemelut yang ada. Hentikan sikap suka mencari kesalahan yang akhirnya krisis tidak akan selesai walaupun siapa sahaja yang memimpin parti itu. Sekarang adalah tempoh untuk MIC mengukuhkan kedudukan parti dan memberi harapan kepada masyarakat India kerana ada dalam kalangan mereka di luar parti masih mengakui peranan MIC ini untuk membela kaum itu.
UMA020215010C#