Peluang Pasukan Transformasi UMNO Permatang Pauh

SEKALI lagi Permatang Pauh menjadi tumpuan. Pilihan raya kecil (PRK) bakal diadaka walaupun khabarnya ada usaha untuk memohon supaya wakil rakyat kawasan itu, Anwar Ibrahim diampunkan. Ketika ini, secara langsung
atau tidak, sama ada UMNO atau PKR telah mengadakan pertemuan bagi membincangkan perkara berkaitan PRK. Khabarnya Pemuda dan Wanita UMNO bahagian sudah pun bertemu bagi melakukan persediaan. Tidak seperti di Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka yang kosong berikutan kematian Nik Aziz Nik Mat, Barisan Nasional (BN) tidak boleh membiarkan kerusi Parlimen Permatang Pauh dimenangi PKR tanpa saingan.

Amat jarang, BN melepaskan kerusi PRK tanpa bertanding. Hanya atas sebab tertentu, kerusi itu dibiarkan menjadi rebutan parti lawan dengan calon-calon Bebas. Setakat ini di Permatang Pauh, hanya PRK Penanti menyaksikan UMNO atau BN memberi laluan kepada PKR mempertahankan kerusi itu pada 31 Mei 2009. Ketika itu, Mohamad Fairus Khairuddin mengosongkan kerusi DUN Penanti tanpa alasan yang kukuh sama ada disebabkan masalah kesihatan atau kesalahan di mahkamah. Faktor itu dilihat tidak mewajarkan BN meletakkan
calon. Akhirnya calon PKR, Dr. Mansor Osman menang mengalahkan tiga calon Bebas dengan majoriti 5,558 undi. Jika BN menang pun, ia tidak memberi apa-apa kesan kepada kerajaan negeri DAP.

Persoalannya sekarang, adakah UMNO yang dipimpin oleh barisan kepemimpinan baharu sudah bersedia? Selepas pemilihan UMNO yang lalu, adakah pemimpin yang menang mengambil semuanya dan yang kalah ditinggalkan begitu sahaja? Adakah perpaduan dalam parti semakin kukuh? Sebelum ini, pergolakan dalaman UMNO Permatang Pauh tidak kurang hebatnya. Diharapkan menjelang PRK nanti, tidak ada cerita-cerita kurang
enak didengar termasuklah isu-isu peribadi yang bakal menjadi modal pihak lawan. Beberapa pendekatan baharu perlu disusun bagi mendekati pengundi-pengundi. Utamakan kempen di peringkat cawangan, kurangkan ceramah besar-besaran yang hanya menceritakan kehadiran orang luar, bukannya pengundi. Temui dan dekatilah pengundi melalui program yang lebih mesra pengundi. Rekod BN di Permatang Pauh sejak 1999 bukanlah baik. Kekalahan demi kekalahan dicatatkan. Menariknya di Permatang Pauh, selepas PRU 2008, PRK akan datang merupakan kali ke empat.

Menyelak kembali siri PRK di Permatang Pauh, ia bermula di kawasan Parlimen selepas peletakan jawatan Dr. Wan Azizah Wan Ismail pada Ogos 2008; di DUN Penanti dan diikuti DUN Permatang Pasir (25 Ogos 2009) yang diwakili oleh calon tunggal Pas iaitu Salleh Man yang mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Allahyarham Hamdan Abdul Rahman. Semasa PRU lalu, ketiga-tiga kawasan ini kekal kepada PKR dan Pas malahan kerusi DUN Seberang Jaya yang sebelum ini diwakili oleh BN turut terlepas kepada PKR. Bermakna BN tidak ada kerusi di kawasan itu.

BN pernah menang dan tewas di Parlimen Permatang Pauh. Kali terakhir pembangkang menguasai kerusi itu ialah pada 1978 apabila Pas menang melalui calonnya, Zabidi Ali. Anwar menjadi calon ‘payung terjun’ UMNO pada 1982 untuk menghadapi calon Pas. Anwar menang seterusnya mengekalkan kerusi itu pada PRU 1986, 1990 dan 1995. Selepas dipecat pada 1998 kemudian dipenjarakan, Anwar tidak layak bertanding. Isterinya mengambil alih atas tiket PKR pada 1999 dan kekal pada 2004. Wan Azizah kekal menang pada PRU 8 Mac 2008. Beliau kemudiannya meletak jawatan untuk memberi laluan kepada suaminya untuk bertanding. PRK Permatang Pauh pada 26 Ogos 2008, Anwar menang dengan mendapat 31,195 undi mengalahkan calon BN, Arif Shah Omar Shah (15,524 undi) dan calon AKIM, Hanafi Mamat (92 undi). Anwar me­nang dengan majoriti 15,671 undi mengatasi majoriti Wan Azizah se­belum itu 13,388 undi. Pada PRU lalu, Anwar mengekalkan kerusi itu tetapi dengan majoriti yang mero­sot iaitu 11,721 undi. BN ketika itu menurunkan calon yang bukan daripada barisan utama UMNO ba­hagian sebaliknya anak tempatan yang memang berasal dari kawasan Permatang Pauh. Anwar memperoleh 37,090 undi mengalahkan calon BN, Dr. Mazlan Ismail yang memperoleh 25,369 undi dan calon Bebas, Abdullah Zawawi Samsudin (201 undi). Kini Wan Azizah sebagai ADUN Kajang tidak layak bertan­ding bagi meneruskan perjuangan Anwar di Permatang Pauh.

Siapakah dalam kalangan kelu­arga Anwar yang akan diturunkan sebagai calon? Mungkinkah anak­nya Nurul Huna? Adakah strategi menurunkan anggota keluarga An­war ini untuk menagih simpati pe­ngundi-pengundi? Jika itu dikata­kan strategi, maka tidak ada pilihan bagi keluarga PKR ini menurunkan salah seorang anggota keluarga mereka. Jika tidak, siapakah dalam kalangan anggota PKR akan ditu­runkan? Adakah orang luar Permatang Pauh? Mungkinkah beberapa pemimpin kanan PKR yang tewas pada PRU lalu akan diturunkan? Kembali kepada UMNO, siapakah yang difikirkan sesuai untuk me­mikul tanggungjawab pada siri PRK ini? Dalam kalangan UMNO baha­gian, mendahului senarai tentulah ketua bahagian, Mohd Zaidi Mohd Said diikuti timbalannya, Ibrahim Ahmad (Art Burger). Mohd. Zaidi yang sebelum ini sebagai Ketua Pe­muda Bahagian tidak bertanding pada PRU lalu sementara Ibrahim diletakkan di kawasan DUN Pen­ anti tetapi tewas `mengejut’ kerana jangkaan awal, beliau mampu me­nang berdasarkan gerak kerja yang dilakukan. Tidak dinafikan barisan kepemimpinan bahagian itu meru­pakan Pasukan Transformasi yang cuba memecahkan benteng bayan­gan Anwar dalam kalangan pem­impin UMNO di Permatang Pauh. Pasukan yang terdiri daripada mu­ka baharu dan lama itu mahu mem­bawa perubahan.

Cikgu Mohd. Zaidi pernah me­ netapkan bahawa PRU-14 sebagai misi menjatuhkan penguasaan PKR di Permatang Pauh. Kini tanpa perlu menunggu PRU itu, peluang kepemimpinan bahagian sudah ada di depan mata. PRK yang bakal tiba tidak seharusnya dijadikan eksperi­men awal sebaliknya perlu menun­jukkan bahawa UMNO Permatang Pauh sudah bersedia berubah. De­ngan tidak melupakan orang lama, UMNO perlu memastikan lebih 17,600 ahlinya mengundi BN dan mencari sokongan pengundi MCA, Gerakan, MIC, PPP, IPF, Kimma serta pengundi ‘atas pagar’. Mung­kin juga BN boleh mendapatkan sokongan pengundi-pengundi Pas dan PKR. Bagi UMNO, utamakan kerjasama dalam kalangan pem­impin bahagian. Dahului matlamat parti bukannya peribadi, puak atau kumpulan. Siapa sahaja yang men­jadi calon termasuk di luar barisan kepemimpinan, perlu diterima atas semangat transformasi.

Memang isu calon menjadi beban yang amat berat untuk ditangani­ sekiranya pemimpin di peringkat bahagian tidak dapat menerima keputusan pucuk pimpinan di pe­ringkat pusat. Penerimaan Dr. Ma­zlan sebelum ini juga menunjukkan perkembangan yang positif. Mung­ kin cabaran kali ini agak berbeza. Jentera PKR amat mengharapkan sokongan padu Pas. Adakah pelu­ ang BN lebih baik tanpa ‘kehadiran’ Anwar dan Azizah? Apakah simpati masih mempengaruhi pengundi-pengundi? Pasukan Transformasi perlu melihat peluang yang ada dengan menyusun langkah yang tidak akan menjejaskan peluang untuk menang. Kata seorang ve­teran UMNO di Permatang Pauh semalam, ini kalilah perlu menang.

UMA160215012C#

Related posts

Leave a Comment