Iftar di masjid elak bazir di hotel, bazar Ramadan

HARI ketiga Ramadan, di mana berbuka hari ini? Walau di mana sahaja, sama ada di rumah, masjid, surau, gerai, restoran mamak, cafe sehinggalah ke hotel ‘berbintang-bintang’, elakkan pembaziran. Ingat mereka yang sedang kelaparan.

Setiap kali Ramadan, bukan sekadar pembaziran wang ringgit tetapi juga makanan atau minuman yang akhirnya menjadi habuan tong sampah, sama ada tidak habis di makan atau makanan rosak, basi.

Khabarnya tahun ini, umat Islam negara ini akan berbelanja lebih RM30 bilion untuk juadah puasa kali ini meliputi di bazar Ramadan, restoran dan hotel. Itu pandangan, seorang pakar ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai.

Angka itu menunjukkan peningkatan berbanding anggaran beliau pada Ramadan tahun lalu iaitu sebanyak RM10 bilion.

Bayangkan jika tidak separuh, 10 peratus daripada belanja RM30 bilion itu sampai kepada rakan-rakan kita di Palestin yang bukan sahaja kelaparan atau kebuluran tetapi berhadapan dengan keganasan tentera Israel.

Menurut Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), sebanyak 90,000 tan makanan dibazirkan dan dibuang di seluruh negara sepanjang Ramadan tahun lalu dan angka itu meningkat antara 15 hingga 20 peratus setiap kali Ramadan.

Dalam keadaan yang dikatakan harga barang meningkat, belanja untuk berbuka pula meningkat. Di mana silapnya? Salahkah bazar Ramadan yang membuka peluang perniagaan atau disebabkan sikap boros pengguna?

Baru tiga hari berpuasa, sudah kedengaran rungutan pengguna atau pembeli. Cerita karipap saja pelbagai – harga mahal, inti angin dan inti masam. Ada pula cerita telur mata RM4.50. Itu belum cerita harga pelbagai makanan mahal.

Adakah pengguna mengambil kesempatan dengan alasan kenaikan harga bahan mentah sehingga menaikkan harga makanan jualan mereka antara 10 hingga 20 peratus tetapi pada masa yang sama tidak menjaga kualiti?

Benar, pilihan di tangan pengguna tetapi pengguna biasanya tidak ambil peduli disebabkan terlalu mengikut nafsu menjelang waktu berbuka padahal semasa berbuka ada yang tidak dijamah dan akhirnya dibuang sebagai sampah.

Cuba selak kembali, bagaimana masyarakat Islam dapat menyelamatkan nafsu membeli sehingga membawa kepada pembaziran semasa menyambut Ramadan ketika pandemik Covid-19 pada tahun 2020.

Pada ketika itu, juadah berbuka ala kadar, tidak ada peluang untuk membeli belah di bazar Ramadan, solat Tarawih pula hanya di rumah. Ketua keluarga sebagai imam.

Walaupun amalan berpuasa Ramadan semasa pandemik Covid-19 sememangnya berbeza dan menginsafkan tetapi banyak membantu umat Islam dalam pelbagai perkara termasuk menghayati erti sebenar Ramadan.

Ketika Covid-19, banyak masa bulan Ramadan diisi dengan membaca al-Quran, mengurangkan pembaziran makanan kerana tidak dapat berbuka di luar di samping mengeratkan ikatan kekeluargaan.

Justeru, jangan kita lupa pengalaman semasa Covid-19 ketika semua aktiviti perniagaan termasuk bazar Ramadan serta bufet di restoran dan hotel terpaksa dihentikan.

Hari ini, bazar Ramadan di merata tempat. Bufet Ramadan di hotel tidak kurang RM100 malahan ada yang mencecah lebih RM200. Banyak mana yang mampu dijanah dengan harga setinggi itu?

Iftar, berbuka puasa, secara tradisinya dilakukan di rumah bersama ahli keluarga atau di masjid dan surau dalam suasana kerohanian. Hari ini ia bertukar kepada ‘pesta makan dengan 100 jenis hidangan’ di hotel dan restoran.

Di masjid dan surau, hasil sumbangan orang ramai, majlis berbuka diadakan sepanjang sebulan ini. Cukup berbuka dengan ala kadar.

Dua hari lalu, pengalaman di dua masjid mendapati ramai yang mengambil kesempatan untuk berbuka bersama keluarga dan rakan-rakan. Dan biasanya pihak masjid tidak dapat menjangka.kehadiran menyebabkan berlaku kekurangan.

Namun pihak masjid sentiasa prihatin untuk mengatasi kekurangan itu. Masyarakat pula jangan serik untuk iftar di masjid atau surau kerana ia turut mengajar berbuka ala kadar di samping solat maghrib berjemaah.

Selamat berbuka.

Related posts

Leave a Comment