DHAKA: Pemenang Hadiah Nobel tunggal Bangladesh Muhammad Yunus akan mengetuai kerajaan peralihan negara itu susulan peletakan jawatan bekas Perdana Menteri Sheikh Hasina.
Keputusan itu dicapai dalam satu mesyuarat yang melibatkan Presiden Mohammad Shahabuddin, ketua angkatan tentera dan pemimpin Gerakan Pelajar Antidiskriminasi Bangladesh pada Selasa.
Berikutan peletakan jawatan perdana menteri, ketua tentera Bangladesh Jeneral Waker-Uz-Zaman mengumumkan sebuah kerajaan peralihan akan dibentuk untuk mentadbir negara dan pada Selasa, Shahabuddin membubarkan Parlimen negara itu.
Penunjuk perasaan pelajar telah mengancam untuk mengadakan lebih banyak demonstrasi jika Parlimen tidak dibubarkan dan pembubaran itu membuka jalan bagi sebuah kerajaan sementara dan pilihan raya baharu .
Dalam pada itu, Pejabat Presiden Mohammed Shahabuddin juga mengumumkan bahawa pemimpin Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), Begum Khaleda Zia, bekas Perdana Menteri yang berseteru dengan Hasina selama beberapa dekad, dibebaskan daripada tahanan rumah.
Gerakan yang menjatuhkan Hasina bermula daripada demonstrasi menentang kuota pekerjaan sektor awam untuk keluarga veteran perang kemerdekaan Bangladesh pada tahun 1971, yang dilihat oleh pengkritik sebagai cara untuk memelihara pekerjaan untuk sekutu parti pemerintah.
Kira-kira 300 orang terbunuh dan ribuan cedera dalam keganasan yang melanda negara itu sejak Julai.
Nnn
