DAP gulung penggulungan PAU 2025

IBARAT penggulungan dalam penggulungan. Rumah siap pahat berbunyi! Begitulah kisahnya apabila Setiausaha Agung DAP Anthony Loke terpaksa ‘menggulung penggulungan’ perbahasan pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2025 di Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2026.

Ketika perwakilan UMNO sudah meninggalkan Dewan Merdeka di Pusat Dagangan Dunia (WTC), sejak semalam, mungkin kebanyakan sudah sampai di rumah masing-masing, masih ada agenda yang belum selesai. Siapa bercakap benar!

Bukan sekadar Presiden Dr Ahmad Zahid Hamidi ‘digulung’ malahan Timbalannya Mohamad Hasan (Tok Mat) turut digulung dalam tempoh tidak sampai 24 jam.

Ternyata Loke mengikuti perkembangan perbahasan di PAU 2025 apabila menyedari  dan mengakui DAP menjadi salah satu bahan perbahasan perwakilan serta pimpinan parti itu termasuk Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden.

Sama seperti musuh UMNO mendendangkan UMDAP UMDAP UMDAP, perwakilan UMNO pula asyik menyebut DAP DAP DAP.

Secara sinis, Loke berkata Konvensyen DAP Selangor hanya satu hari bermula hari ini tetapi seolah-olah telah berlangsung sejak  empat hari lalu apabila sebuah parti lain (UMNO) mengadakan perhimpunan agung tetapi perbincangan mengenai DAP.

“DAP, DAP, DAP, DAP semua salah DAP” katanya pada awal ucapan sempena Konvensyen Tahunan DAP Selangor 2026, di Klang, hari ini.

Sepanjang PAU 2025 yang berakhir semalam (Sabtu) perwakilan termasuk sayap – Wanita, Pemuda, Puteri – menyentuh pelbagai isu mengenai kerjasama dengan DAP dan Kerajaan Perpaduan yang kemudiannya segala persoalan digulung oleh pimpinan parti.

Malangnya ada penjelasan semasa penggulungan itu didakwa tidak menepati fakta sebenar yang dikatakan hanya untuk ‘mententeramkan’ suasana dalam mendepani desakan Pemuda supaya UMNO meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

Hari ini, antara yang ‘digulung’ semula oleh Loke adalah mengenai dakwaan wujudnya Team B yang dicetuskan Presiden UMNO, Ahmad Zahid ketika penggulungan bagi menjawab reaksi pemimpin tertentu DAP beberapa isu.

Ketika penggulungan, Ahmad Zahid mendakwa pelbagai kenyataan dikeluarkan yang bertentangan daripada kepemimpinan utama DAP muncul daripada ‘Team B’.

Malahan Timbalan Perdana Menteri itu turut menyokong kenyataan dikeluarkan oleh Timbalan Presiden, Tok Mat dan Naib Presiden, Johari Abdul Ghani yang parti itu tidak perlu takut dengan DAP.

“Betul Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Datuk Seri Mohamad Hasan kata nak takut dengan DAP ini pasal apa? Yang keluarkan kenyataan macam-macam itu ‘Team B’ dalam DAP.

Mereka pun ada Team B juga. Saya jumpa sendiri dengan Setiausaha Agungnya (Anthony Loke),” katanya semasa ucapan penggulungan di PAU 2025 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Loke bagaimanapun menafikan terdapat ‘Team B’ dalam partinya sebaliknya hanya ada ‘Team DAP’ sambil menyifatkan kenyataan Ahmad Zahid itu tidak masuk akal dan pihaknya tidak pernah sekali pun mengeluarkan kenyataan seumpama itu.

“Logik ke saya kata begitu, bodohlah saya berada dalam politik ini untuk beritahu ada ‘Team B’ dalam parti ini, kemudian saya maklumkan kepada parti lain. Saya nafikan sekerasnya dan tidak pernah cakap dengan Zahid berkenaan isu ini.

“Ini kerana dalam DAP tiada team A, B mahupun C, kita hanya ada satu pasukan iaitu Team DAP,” katanya

Loke mengakui ada memberi beberapa pandangan bahawa pihaknya tidak bersetuju dengan kenyataan yang dikeluarkan oleh Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Yeo Bee Yin yang dilihat umpama ‘bersorak’ ketika Najib Razak kekal menjalani hukuman di Penjara Kajang.

“Saya memang maklumkan dalam podcast bahawa pendekatan itu tidak perlu, tidak perlu bersorak. Dalam DAP boleh ada perbezaan pandangan, tapi kita uruskan pandangan berbeza itu secara dalaman iaitu dalam mesyuarat.

“Tapi dekat luar kita adalah parti yang bersatu, berdisiplin dan tiada siapa boleh memecah belahkan parti ini. Apa yang dilakukan ini adalah taktik lama iaitu ‘divide and rule’, ia mungkin boleh digunakan kepada parti lain, kepada DAP ini tidak akan terpakai dengan permainan ini.

“Cakaplah apa pun, tetapi DAP sebagai parti dalam kerajaan adalah sebuah parti yang bersatu padu dan pemimpin pasukan yang kuat,” katanya.

Susulan itu, tidak sampai 24 jam Zahid cuba meyakinkan perwakilan PAU 2025 mengenai DAP, Pengerusi Barisan Nasional (BN), itu tampil menarik balik kenyataan yang menggambarkan DAP seolah-olah memiliki dua kem.

“Jika itu menyinggung DAP, saya menarik balik apa yang saya sebutkan itu, tetapi tidak langsung menjadi maksud kepada saya untuk menggambarkan bahawa terdapat atau wujud dua kem di dalam parti berkenaan.

“Cuma mungkin terdapat perbezaan pendapat yang kecil (antara pemimpinnya) dan ini disebutkan juga oleh Datuk Seri Johari Ghani dan Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa kita tidak seharusnya mengambil pandangan daripada kumpulan yang berbeza pendapat dengan kepimpinan utama DAP,” katanya.

Nampaknya Dewan Merdeka masih berbunyi. Secara kebetulan Ahmad Zahid menarik balik isu Team B DAP di dewan yang sama ketika penggulungan PAU, cuma khalayak hari ini adalah wartawan, ketika sidang media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Parti Progresif Penduduk (PPP).

Loke juga menggulung apa yang digulung oleh Tok Mat berkait dengan UMNO dan DAP dalam Kerajaan Perpaduan.

Semalam, ketika penggulungan, Tok Mat memberitahu, ada pihak yang merasakan keberadaan UMNO sebagai ‘duri dalam daging’ kepada mereka dan usaha menaikkan kemarahan orang UMNO dibuat dengan harapan akhirnya ia akan membawa kepada tuntutan supaya parti meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

“Kerana apa? Kerana apa yang mereka nak bawa itu kita sudah bantah… apa mereka mahu buat, kalau UMNO tak setuju dalam Kabinet, maka Kabinet tak setuju,

“Ini yang mereka rasa amat sakit hati. Apatah lagi apabila mereka kalah tanpa menang satu pun kerusi di (Pilihan Raya Negeri/PRN) Sabah, jadi berbagai usaha dibuat untuk menaikkan emosi (kemarahan) kita,” katanya.

Tok Mat berkata, usaha menaikkan kemarahan orang UMNO dibuat dengan harapan akhirnya ia akan membawa kepada tuntutan supaya parti meninggalkan Kerajaan Perpaduan.

“Bersoraklah mereka kalau UMNO keluar dari kerajaan, ini pun yang mereka mahu. Maka, berulanglah kembali kerajaan PH 1.0 di mana mereka dengan sewenang-wenang membuat apa saja yang mereka suka kerana tidak ada suara akan membantah dan membangkang dalam apa juga yang mereka mahu lakukan.

“Hari ini jika Tabung Haji tidak dipaksa jual tanah di TRX, harganya sudah lima kali ganda nilainya. Hotel Tabung Haji dijual tanpa sesiapa cakap apa-apa, ladang-ladang Tabung Haji dijual begitu saja,” katanya.

“Kita jangan terpijak kulit pisang kali kedua. Orang tuduh kita UMDAP ke apa, itu memang direka cipta untuk memarahkan kita. Peduli apa. UMNO ini kalau Melayu bersatu, British pun kita halau pada 1957,” katanya.

Loke dalam reaksinya  menafikan apa yang disentuh Tok Mat kerana Parti itu ketika itu tidak apa-apa jawatan dalam Tabung Haji dan Khazanah sebaliknya hanya Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.

Pesan Loje kepada rakan-rakannya di dalam kerajaan, berhujahlah secara fakta  dan jangan salahkan DAP.

Bayangkan jika hari ini PAU masih berlangsung. Apakah reaksi perwakilan terhadap penjelasan Loke itu. Siapa mereka harus percaya? Apakah nasib usul Konvensyen Khas Pemuda yang mahukan UMNO dan BN menarik diri dari Kerajaan Perpaduan?

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment