Telur mata harga melampau di bazar Ramadan

KUALA LUMPUR 14 Mac – Telur mata RM4.50? Itu persoalan yang ditimbulkan seorang penyokong kerajaan mengenai peniaga bazar Ramadan didakwa mengambil kesempatan menaikkan harga makanan.

Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) berkata beliau memperoleh maklumat mengenai harga telur itu menerusi perkongsian yang tular di media sosial.

“Dalam media kita dapat dengar begitu ramai rakyat merungut harga barang di bazar Ramadan ini meningkat cukup tinggi. Sehingga tular dalam media sosia telur mata (dijual pada harga) sampai RM4.50. Ini dilaporkan rakyat dalam media sosial.

Soalan saya, Ops Pantau KPDN (Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup) ini yang dilakukan di setiap bazar kerana baru-baru ini penguat kuasa tidak cukup anggota. Bagaimana kita boleh tambah baik mekanisme aduan supaya tindakan dapat dibuat,” katanya.

Beliau mengemukakan soalan tambahan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab pertanyaan itu, selain menularkan harga tersebut, Armizan berkata sebarang aduan berbangkit haruslah terperinci supaya pegawai penguat kuasa boleh melakukan pemeriksaan di lokasi terbabit.

Beliau menasihat pengguna supaya bijak membeli dengan mencari kedai yang menawarkan harga lebih berpatutan.

Armizan menarik perhatian di mana pemantauan di bazar Ramadan TTDI mengesahkan ada peniaga yang meletakkan harga karipap yang tinggi tetapi pada masa yang sama masih ada karipap yang dijual pada harga jauh lebih rendah.

Related posts

Leave a Comment