Babi, kuil: Orang politik usah ‘berjanji’ lagi

MUKTAMADKAN! Itu titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj semalam berhubung projek ternakan babi dan pembinaan kuil di tapak tidak sah yang menimbulkan ‘pertelingkahan’ melibatkan orang ramai dan pimpinan politik.

Maknanya dua isu ini perlu diselesaikan, jangan kedengaran lagi keluh kesah rakyat Selangor berhubung isu-isu yang berlarutan – pasang surut, tidak pernah selesai.

Rakyat tentu lega dengan ketegasan Sultan Sharafuddin selaku Ketua Agama Islam di Selangor yang sentiasa mengambil berat sensitiviti masyarakat berbilang kaum dan agama selaras dengan prinsip tolerasi yang menjadi teras keharmonian masyarakat.

Kini terletak di bahu Menteri Besar Selangor Amirudin Shari untuk memastikan jentera kerajaan negeri khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) digerakkan bagi menjunjung titah Sultan Selangor. Tak perlu ternak, import sahaja!

Kali terakhir Amirudin pada 7 Februari lalu masih memikirkan untuk melaksanakan projek ternakan babi sehingga terkeluar perkataan bodoh terhadap Pesuruhjaya Pas Selangor, Dr. Ab Halim Tamuri ketika berucap di Kongres Keadilan Selangor.

Beliau dipetik berkata: “Bila pesuruhjaya Pas negeri jumpa akhbar Cina…kita (Pas) akan terus membenarkan perusahaan babi dengan keadaan terkawal..Itu yang aku nak buat bodoh!” Dan disambut tepukan gemuruh perwakilan.

Kini Amirudin selepas lapan tahun menerajui Selangor tidak perlu lagi memikirkan soal bela babi sehingga ‘membodohkan’ orang lain sebaliknya perlu memikirkan bagaimana menamatkan industri itu sama ada berskala besar atau kecil.

Tidak dinafikan kemungkinan akan ada suara-suara yang mahu industri babi ini dipertahankan dengan pelbagai alasan termasuk berkaitan peluang kerja, bekalan bagi memenuhi keperluan dan sebagainya.

Namun isu pencemaran perlu diutamakan kerana ia berpotensi mencemarkan kawasan tadahan air dan sungai yang menjadi sumber air bersih kepada penduduk pelbagai kaum di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Seperti titah baginda, walaupun teknologi penternakan moden dikatakan mampu mengurangkan impak pencemaran, kos pelaksanaannya adalah terlalu tinggi dan sukar ditanggung mana-mana pihak hanya untuk memenuhi keperluan bekalan daging babi di Selangor.

Pada masa sama, masih tiada jaminan bahawa pencemaran tidak akan berlaku terhadap kawasan tadahan air serta sungai utama di Lembah Klang.

Sultan Sultan Sharafuddin juga menyentuh keterbatasan tanah dan nilai hartanah yang tinggi di Selangor, di mana tanah berkenaan lebih wajar digunakan untuk tujuan yang memberi manfaat ekonomi dan sosial kepada rakyat.

Bagi menjunjung titah Sultan Selangor itu, jangan pula ada yang ‘bodoh’ apabila tiba pilihan raya umum, menjanjikan projek babi ini dalam manifesto sama ada melibatkan PKR atau Pas atau parti politik lain hanya untuk memancing undi.

Di samping peranan kerajaan negeri melalui PBT, Jabatan Alam Sekitar (JAS) juga perlu memainkan peranan yang aktif bagi memastikan ladang ternak babi di seluruh negara mematuhi piawaian penternakan.

Pada masa yang sama ketika rakyat Selangor menarik nafas lega, simpatilah juga kepada mereka yang masih tinggal berhampiran kawasan ternakan babi ini di negeri lain. Hanya mereka yang tahu dan merasai ‘keperitan’ kehidupan seharian mereka.

Satu lagi isu yang perlu diselesaikan Amirudin sebagai Menteri Besar Selangor adalah berkaitan kuil yang dibina secara tidak sah, isu yang tidak pernah selesai disebabkan sikap orang awam dan mungkin juga penguatkuasaan oleh PBT.

Seperti isu babi, Sultan Sharafuddin bertitah agar isu pembinaan kuil tanpa kebenaran dapat dihentikan dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak sejak sekian lama.

Jumlah kuil Hindu yang dibina tanpa kebenaran di Selangor adalah terlalu banyak, lebih tinggi berbanding populasi masyarakat India beragama Hindu di negeri itu sekitar 11.3 peratus sahaja.

Menurut statistik yang dipersembahkan kepada baginda, setakat 31 Januari 2026 terdapat 687 buah kuil dibina tanpa kebenaran di Selangor, membabitkan 388 kuil yang dibina di tanah milik kerajaan dan 299 kuil dibina atas tanah milik persendirian.

Justeru sekali lagi PBT dituntut untuk sentiasa memantau pembinaan rumah ibadat tanpa kebenaran di tanah-tanah kerajaan dan tanah persendirian supaya dapat dibanteras dan dikawal.

PBT, jangan sekadar aktif meletakkan surat saman di cermin depan kenderaan yang terlebih waktu di ruang parkir ketika pemiliknya belum habis makan minum di restoran atau tidak selesai urusan di dalam premis perniagaan.

Begitu juga peranan masyarakat khususnya yang bertaraf pemimpin untuk memastikan masyarakat sekeliling menghormati undang-undang yang ditetapkan bukan melakukan sesuatu mengikut selera masing-masing.

Daulat Tuanku!

Nnnn

Related posts

Leave a Comment