JOHOR BAHRU 13 Jun – Menteri Besar Johor, Onn Hafiz Ghazi, belum menerima sebarang surat rasmi berhubung jemputan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, untuk bersama-sama menaiki KTM Komuter, Selasa ini.
Bagaimanapun beliau terharu akhirnya ‘dijemput’ oleh Loke , untuk menaiki KTM Komuter, bagi melihat pelaksanaan projek berkenaan.
Katanya, jemputan itu diterima selepas beberapa lawatan Loke membabitkan projek di negeri ini tidak pernah membabitkan dirinya atau Exco kerajaan negeri yang bertanggungjawab.
“Saya berasa terharu dan lega kerana akhirnya, saya dan kerajaan negeri Johor mendapat jemputan yang ‘ikhlas’ daripada Menteri Pengangkutan untuk melihat pelaksanaan projek KTM Komuter pada Selasa ini.
Saya tidak mempunyai sebarang masalah untuk hadir dan insya-Allah akan melapangkan jadual saya bagi tujuan tersebut,” katanya.
Beliau bagaimananpun memberitahu, sehingga hari ini, pejabatnya belum menerima sebarang surat jemputan rasmi dan butiran program daripada Kementerian Pengangkutan untuk hadir mewakili Kerajaan Negeri Johor.
“Saya hanya dimaklumkan oleh pihak media bahawa ‘jemputan’ terbabit dibuat ketika program politik Pelancaran Jentera Pilihan Raya Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan malam semalam.
Bagaimanapun, saya tetap terharu dengan ‘keikhlasan’ jemputan ini. Sekurang-kurangnya kerajaan negeri Johor akhirnya ‘dijemput’ walaupun program ini telah dirancang sejak lebih seminggu lalu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Onn Hafiz berkata, sebelum ini, beliau atau Exco yang bertanggungjawab tidak pernah mendapat sebarang jemputan rasmi bagi beberapa program Kementerian Pengangkutan di negeri ini.
Katanya, antara lawatan Loke ke negeri ini adalah lawatan ke Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) pada 9 Januari 2023; Lawatan dan Pengumuman Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) pada 26 September dan 4 Oktober 2024; Lawatan ke ETS Segamat pada 23 Mac 2025 dan terbaru Lawatan Kerja Menteri Pengangkutan ke tapak projek RTS Link, pada 3 April lalu.
“Pada lawatan terbaru, beberapa pemimpin DAP Johor dilihat hadir dalam program itu dan apabila saya berhubung dengan pihak tertinggi Kementerian Pengangkutan, saya dimaklumkan jemputan hanya membabitkan pihak vendor atau pembekal.
Adakah pemimpin-pemimpin DAP ini adalah vendor atau pembekal?” soalnya.
Pada masa sama, Onn Hafiz berkata, bagi memastikan agenda memperkasakan pengangkutan awam di Johor melalui projek KTM Komuter ini dapat berjalan dengan baik, kerajaan negeri turut menghulurkan bantuan sebanyak RM700,000 bagi kerja mencantikkan dan membalut tren.
Bagaimanapun, katanya, beliau difahamkan pelaksanaannya terpaksa ditangguhkan bagi menunggu kehadiran Menteri Pengangkutan untuk melancarkannya pada Selasa ini.
“Selain itu, atas permohonan KTM, kerajaan negeri melalui Perbadanan Pengangkutan Awam Johor (PAJ) turut bersetuju untuk menyediakan perkhidmatan bas pengantara di stesen-stesen terbabit, termasuk perkhidmatan shuttle dengan kos operasi sekitar RM86,000.
“Kerajaan negeri juga menyelaras laluan Bas Muafakat Johor serta menaja tempat duduk bernilai kira-kira RM9,000 demi keselesaan penumpang.
“Perkongsian ini bukanlah bertujuan untuk ‘claim credit’ tetapi sekadar memaklumkan bahawa kerajaan negeri Johor turut menyumbang dalam menjayakan inisiatif Kerajaan Persekutuan. Johor bukan sekadar menerima tetapi turut membantu melaksanakan,” jelasnya.
Penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu berkata, projek pembangunan bukanlah milik mana-mana parti politik termasuklah DAP, sebaliknya, ia adalah tanggungjawab semua pihak yang diberikan amanah dan kita mesti kekal profesional untuk melaksanakannya demi manfaat dan kesenangan rakyat.
“Pelaksanaan projek ini adalah demi kesenangan rakyat Johor bukan kerjasama politik. Jadi, sepatutnya tidak timbul sebarang masalah atau keraguan. Pada saya, urusan rasmi kerajaan dan urusan kerjasama politik adalah dua perkara yang berbeza,” katanya.
Nnnn
