Muslimat Pas diasak wanita DAP

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Persidangan Dewan Rakyat petang ini panas apabila Siti Mastura Muhammad (PN- Kepala Batas) diasak oleh empat ahli Parlimen DAP, yang mencelah bertanyakan tuduhan yang mengaitkan pemimpin DAP dengan komunis.

Ketika sesi perbahasan di peringkat jawatankuasa bagi Kementerian Perpaduan Negara, Siti Mastura bagaimanapun tidak memberi ruang untuk wakil rakyat DAP mencelah bagi mendapatkan penjelasan berhubung isu berkenaan.

Namun sehingga selesai berucap, empat pemimpin DAP iaitu Wong Shu Qi (PH-Kluang), Teresa Kok (PH-Seputeh), Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) dan Syahredzan Johan (PH-Bangi) tetap menuntut penjelasan.  perkara itu.

Mereka mendesak Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang itu supaya menjelaskan fitnah terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng yang dituduh mempunyai hubungan kekeluargaan dengan pemimpin komunis, Chin Peng dan bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew.

Dalam ucapannya pada suatu majlis di Kemaman, Terengganu, sebelum ini, Siti Mastura didakwa juga mengaitkan Guan Eng, bapanya, Lim Kit Siang dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan pemimpin DAP lain iaitu Teresa Kok, Anthony Loke, Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham.

Mastura dalam beberapa minit pertama berucap tidak diganggu tetapi kemudiannya mula diasak apabila tiga wanita DAP bangun untuk mencelah.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Johari Abdul kemudian bertanya, sekiranya Siti Mastura mahu memberikan laluan dan beliau terus menggelengkan kepalanya.

“Dia (Siti Mastura) tidak bagi,” kata Johari.

“Kami nak bertanyakan mengenai fitnah yang dilemparkan kepada DAP dan saya,” kata Teresa Kok.

“Lebih baik Kepala Batas berikan ruang, ini sudah fitnah kepada Ahli Parlimen,” kata Shu Qi pula.

“Tidak berani jawab ke Kepala Batas,” tambah Shu Qi lagi.

Siti Mastura bagaimanapun ‘memekakkan telinga’ dan tidak memberikan laluan kepada semua Ahli Parlimen tersebut.

Dan pada akhir ucapannya, beliau sempat  berpantun:

“Pergi kedai beli lidi,

“Kelulusan PhD bukan dibeli,

“Kera lompat atas pokok,

“Masuk Dewan jangan provok.”

Tidak puas hati dengan perkara tersebut, Syahredzan Johan (PH – Bangi) meminta agar Siti Mastura tidak berbohong dan fitnah.

“Dekat luar jangan fitnah, baca poster fitnah ulang balik dalam Dewan. Biar kita bawa usul.

“Malulah orang muda bawa politik lama,” kata Syahredzan.

“Kepala Batas tidak belajar ke sumber maklumat dari mana, jawablah di sini,” celah Shu Qi lagi.

Ahli Parlimen Pengkalan Chepa, Ahmad Marzuk Shaary juga bangun meminta mereka yang berkenaan duduk setelah Kepala Batas selesai berucap.

Melihat masih ada yang bercakap dan tidak berpuas hati, Johari bertindak mengarahkan semua Ahli Parlimen untuk meneruskan tindakan provokasi mereka terhadap Siti Mastura.

“Saya bagi peluang siapa nak bercakap bangun, ayuh lagi sebab public (masyarakat ) sedang tengok.

“Saya bagi ruang sekarang untuk bercakap, saya tidak akan stop (hentikan), tegas Johari..

Begitupun, tiada siapa lagi yang bangkit dan sidang diteruskan dengan perbahasan Rodziah Ismail (PH-Ampang).

Related posts

Leave a Comment