Chin Peng : Guan Eng beri tempoh hingga Khamis 

KUALA LUMPUR 7 Nov. – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng meminta Ahli Parlimen Kepala Batas Siti Mastura Muhammad untuk mengemukakan bukti beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Lee Kuan Yew dan pemimpin komunis, Chin Peng.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan, berkata tindakan seterusnya akan diambil pihaknya jika Siti Mastura  yang juga Timbalan Ketua Dewan Muslimat Pas Pulau Pinang gagal menampilkan bukti dalam tempoh sehingga Khamis ini.

“Saya memberikan peluang kepada Kepala Batas untuk menunjukkan bukti, kalau tidak dapat buktikan kita akan ambil tindakan seterusnya, membabitkan semua tindakan yang perlu diambil.

“Kita tunggu selepas Khamis, jika tiada bukti mengenai hubungan kekeluargaan, kita akan mengambil tindakan seterusnya… pihak berkuasa tidak boleh mengambil ringan kerana ia boleh memecahbelahkan rakyat,” katanya pada sidang media di pusat media Parlimen, di sini hari ini.

Siti Mastura melalui ucapannya di Kemaman, Terengganu, sebelum ini didakwa mengeluarkan kenyataan bekas Menteri Kewangan itu mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Kuan Yew yang juga bekas Perdana Menteri Singapura, selain Chin Peng.

Melalui video ucapan yang dimuat naik di media sosial itu, Siti Mastura juga didakwa mengaitkan Guan Eng dan isterinya, Betty Chew Gek Cheng, dengan pemimpin DAP lain iaitu Teresa Kok, Nga Kor Ming dan Ngeh Koo Ham.

Video berdurasi 46 minit 51 saat itu, memetik Siti Mastura pada suatu majlis di Kemaman, Terengganu, pada 4 November lalu, menuduh pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa kepada Guan Eng, adalah sepupu kepada Chin Peng.

Selain itu, Siti Mastura juga menuduh Kuan Yew juga adalah sepupu kepada Kit Siang, juga mengaitkan isteri Guan Eng mempunyai talian kekeluargaan dengan Teresa.

Pada masa sama, Guan Eng yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, berkata pihaknya menganggap tuduhan dibuat Siti Mastura adalah suatu fitnah jahat.

Katanya, malah beliau sama sekali menafikan mempunyai hubungan kekeluargaan dengan semua senarai nama disebut Ahli Parlimen Kepala Batas itu.

Related posts

Leave a Comment