“Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina”

KENAPA Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani, hanya diadakan di Kedah, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Kelantan, Terengganu dan Selangor? Tidak Madanikah Perlis, Perak, Melaka, Pahang, Johor, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan?

Jika wartawan bertanyakan soalan ini, tentulah dianggap sebagai soalan bodoh tetapi wartawan tidak mungkin bertanyakan soalan sebegitu kecuali jika mahu pengesahan daripada menteri yang bertanggungjawab.

Kata orang lama “Sekilas ikan di air, sudah tahu jantan betina” atau “Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula,”.  Begitu juga “Kalau tidak ada-berada takkan tempua bersarang rendah” atau “Bagai kelip-kelip terbang malam”.

Jawapan kepada soalan bodoh ini (jawapan penulis) adalah program ini sebagai persediaan kerajaan Madani mendekatkan diri dengan rakyat terutama pengundi-pengundi yang akan berhadapan dengan pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Tidak ada jawapan lain yang lebih padu kecuali dikaitkan dengan salah satu program atau kempen awal PRN di tiga negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan tiga negeri lagi di bawah Perikatan Nasional (PN).

Rakyat tentunya mengalu-ngalukan program ini tetapi persepsi rakyat terhadap program ini amat jelas. Tidak mudah untuk memperbodohkan rakyat apabila hanya enam negeri PRN dipilih untuk program rumah terbuka ini.

Semua orang tahu bahawa negeri-negeri yang menjadi tuan rumah Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani itu akan berlangsung PRN sama ada Julai atau Ogos ini.

Takkan hendak berjimat mengadakan acara besar seperti dilaungkan kerajaan maka dihadkan enam negeri? Jika begitu kenapa tidak digabungkan saja ikut Zon – utara, tengah, timur, selatan, Sabah dan Sarawak – enam zon tetapi menyeluruh.

Jika mahu diadakan juga janganlah dikaitkan dengan ‘kesucian’ Madani kerana ia tidak melambangkan maksud Madani kecuali memperbodoh dan memperlekeh pemikiran rakyat yang sudah tahu selok belok politik. Adillah kepada semua.

Namakan sahaja Rumah Terbuka Pilihan Raya Negeri tidak perlu berselindung atau dikaitkan dengan Madani atau Kerajaan Perpaduan.

Jangan majlis menjamu rakyat dipolitikkan hanya kerana mahu mencari undi menjelang PRN di negeri-negeri berkenaan. Dan yang penting adakah ia menggambarkan konsep Madani sebenarnya?

Atau saya masih tidak faham atau belum faham maksud Madani yang dibawa oleh kerajaan sekarang bagi menggantikan Keluarga Malaysia?

Memetik ucapan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, katanya konsep Madani menggambarkan kepercayaan yang dicerna antara kerajaan dan rakyatnya berdasarkan pada asas ketelusan dan kerjasama.

“Konsep Madani dirangka sebagai ikhtiar untuk memetakan strategi bagi mentadbir negara dengan berkesan dirangkul peradaban yang dicitakan. Ia ditakrifkan dengan sebuah konsep mapan, sejahtera, berdaya cipta, saling menghormati, punyai keyakinan dan bersifat Ihsan,” kata Anwar.

Menurut Anwar, dalam dunia yang serba tidak menentu, ditandai dengan kerumitan percanggahan, kekacauan dan keserentakan, suatu kerangka strategik yang komprehensif harus dibangunkan untuk mengemudi negara menempuh zaman yang ditakrifkan sebagai pascanormal.

Yang lain mengenai Madani bolehlah rujuk grafik yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Tidak salah mengadakan jamuan seumpama ini (lupakan soal pembaziran), kerana ia merupakan satu kesempatan pimpinan kerajaan Madani mengeratkan lagi tali silaturrahim dan hubungan ukhuwwah bersama masyarakat di kampung atau desa.

Walaupun lokasinya terpilih di negeri yang berdepan PRN, hubungan yang bakal terjalin pada program ini diharap akan menjadikan masyarakat lebih harmoni dan hubungan sesama mereka utuh tanpa sebarang syak wasangka.

Lebih besar daripada itu, diharapkan negeri yang didiami layak ditabalkan sebagai Baldatun Toyyibatun wa Robbun Ghafur.

Justeru kepada rakyat enam negeri dipersilakan menjamu selera di rumah terbuka yang bakal diadakan. Orang beri makan, kita makan. Rezeki jangan ditolak.

Sorong papan tarik papan, buah keranji dalam perahu, suruh makan kita makan, suruh mengundi belum tahu”

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin

Related posts

Leave a Comment