Bersama diminta hormati pendirian DAP

TANJONG 17 Ogos – Pengasas Parti Bersama Malaysia (Bersama),  Rafizi Ramli diminta menghormati keputusan Persidangan Kebangsaan DAP 2026 berhubung pendirian parti itu untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP, Chow Kon Yeow berkata pendirian perwakilan parti itu semalam adalah fakta asas yang patut dihormati.

“Minta dia hormati DAP dan keputusan perwakilan. Itu fakta asas, bukan?” kata Kon Yeow ketika ditemui selepas melancarkan program penyertaan awam dan pemberitahuan awam bagi Pelan Struktur Pulau Pinang 2040, hari ini.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu diminta mengulas penilaian Rafizi bahawa DAP tidak mungkin meninggalkan Kerajaan Perpaduan meskipun terdapat perselisihan dalam Pakatan Harapan (PH).

Rafizi sebelum ini mendakwa DAP dilihat tidak akan mudah melepaskan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan selepas pernah ‘merasai’ nikmat kuasa melalui pelbagai jawatan yang disandang wakil parti itu.

Beliau pada Siri Jelajah Kancil Pulau Pinang di sini, malam tadi menyifatkan, keputusan DAP itu sudah dijangka kerana sukar bagi mana-mana parti politik yang sudah mempunyai kedudukan dalam kerajaan meninggalkan kuasa yang dimiliki.

“DAP ada jawatan daripada peringkat Menteri penuh, Timbalan Menteri, kemudian Ketua Menteri, Exco, wakil rakyat, kemudian Ahli Majlis dan di bawah sana, beribu-ribu orang.

“Sekali sudah rasa nikmat kuasa, takkan mudah dilepaskan kalau di Pulau Pinang seseorang itu sudah menjadi Ahli Majlis, kamu fikir mudah untuk mereka lepaskan?

Apa yang membuatkan kamu fikir dengan mudah mereka yang mengundi (dalam persidangan DAP) akan kata, jomlah kita rasa sudah tidak serasi dengan parti ini maka kita kena keluar memegang prinsip dan kita tidak akan lagi menjadi kerajaan ini,” katanya.

Rafizi berkata, sejak dua hingga tiga minggu lalu beliau sudah menjangkakan DAP tidak akan mengambil keputusan meninggalkan Kerajaan Perpaduan dan akan kekal berada dalam kerajaan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Nnnnn

Related posts

Leave a Comment