KUALA LUMPUR 17 Ogos – Pelaksanaan Skim Lindung 24 Jam Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) tidak dibuat secara mengejut sebaliknya melalui proses perbincangan sejak 2017 sebelum diluluskan Dewan Rakyat pada Disember lalu.
Timbalan Ketua Eksekutif (Strategik dan Korporat) Perkeso, Edmund Cheong Peck Huang, juga menjelaskan kadar caruman dibuat secara berperingkat bermula 0.75 peratus dan meningkat kepada maksimum 1.25 peratus pada tahun keenam.
“Kadar itu akan dinaikkan kepada 1.25 peratus pada tahun keenam, selaras dengan peningkatan faedah penggantian pendapatan daripada 48 peratus ketika ini kepada sehingga 80 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Sesi Literasi Media Bersama Pengarang dan Wartawan serta pengumuman Anugerah Media Perkeso i-Lindung 2026, hari ini.
Menurutnya, pendekatan berperingkat itu turut membolehkan faedah perubatan dan pemulihan kekal tanpa had, khususnya bagi pekerja yang mengalami kecederaan serius dan memerlukan rawatan dalam tempoh panjang.
Beliau berkata pekerja juga perlu menilai perlindungan sedia ada seperti insurans kemalangan diri atau kad perubatan sebelum membuat keputusan untuk memilih keluar daripada skim berkenaan.
“Jumlah perlindungan insurans persendirian yang rendah mungkin tidak mencukupi untuk menampung kehilangan pendapatan dalam jangka panjang, berbanding perlindungan Lindung 24 Jam yang boleh memberi faedah kepada pekerja dan tanggungan mengikut kelayakan,” jelasnya.
Beliau turut menegaskan pekerja yang telah memilih untuk keluar masih boleh menyertai semula skim berkenaan.
Tempoh untuk memilih keluar daripada Lindung 24 Jam ditetapkan sehingga 31 Ogos ini, manakala Perkeso akan mengumumkan prestasi penyertaan skim berkenaan selepas tempoh itu.
Beliau pada masa yang sama menjelaskan pecahan caruman mengikut skim ditawarkan Perkeso dalam slip gaji pencarum bertujuan mewujudkan aspek ketelusan, selain memudahkan urus tadbir dilakukan.
Ia juga bagi memudahkan pencarum memahami bentuk perlindungan daripada setiap skim ditawarkan agensi itu.
Ini kerana, katanya, caruman bagi setiap skim terbabit menawarkan faedah berbeza dengan jumlah pampasan kepada pencarum diberikan mengikut dana daripada tabung berlainan.
“Kita mahu mendidik pencarum yang dilindungi di bawah skim berbeza. Jika ia disatukan, pencarum sukar untuk lihat perbezaan skim dan bentuk perlindungan disediakan.
Pengasingan ini juga mengambil kira faktor sebahagian majikan culas membuat caruman, sekali gus membolehkan pekerja mengenal pasti masalah dan membuat tindakan lanjut.
Perkeso menyediakan jaringan keselamatan sosial melalui pelbagai skim utama, termasuk Skim Bencana Pekerjaan, Skim Keilatan, Skim Kemalangan Bukan Bencana Kerja (LINDUNG 24 Jam) dan Sistem Insurans Pekerjaan (LINDUNG Kerjaya).
(foto fb Perkeso)
Nnnnn
