SEPANG 17 Ogos – Selepas memutuskan untuk kekal bersama Kerajaan Perpaduan semalam, DAP hari ini menggesa Anwar Ibrahim memastikan reformasi institusi penting, diluluskan sebelum hujung tahun ini.
Ini termasuk pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta penetapan had tempoh jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal.
Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo yang membuat gesaan itu berkata, keputusan DAP untuk terus kekal dalam kerajaan Madani hendaklah disusuli dengan tindakan konkrit terhadap agenda reformasi terasnya.
“Saya menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya mengambil tindakan segera untuk merealisasikan reformasi ini. Harus ada garis masa yang jelas dan tegas ditetapkan untuk reformasi institusi asas,” katanya dalam satu kenyataan.
Menteri Digital itu berkata, kerja asas bagi reformasi Rang Undang-Undang (RUU) pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya serta cadangan had dua penggal bagi jawatan Perdana Menteri sudahpun disediakan.
Beliau turut menggesa pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan Akta Perhimpunan Aman dimuktamadkan serta dibentangkan tanpa sebarang kelewatan.
Katanya, keterangan kementerian mengenai pindaan SOSMA juga sudah dibentangkan di Parlimen pada Februari tahun lalu, manakala perbincangan berhubung pindaan Akta Perhimpunan Aman pula sudah berjalan selama berbulan-bulan.
Gobind turut mencadangkan supaya satu sidang khas Parlimen atau persidangan tambahan Dewan Rakyat diadakan bagi membolehkan RUU reformasi terbabit dibahas dan diluluskan, seperti sidang khas berhubung laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji, baru-baru ini.
Menurut beliau, kerajaan bertindak pantas mengadakan sesi khas Parlimen bagi laporan RCI Tabung Haji dan langkah yang sama harus diambil untuk agenda reformasi penting ini, atau hari persidangan tambahan diadakan pada sidang Dewan Rakyat akan datang khusus didedikasikan untuk perkara ini.
Gobind menegaskan bahawa DAP kekal komited untuk memastikan reformasi tersebut dilaksanakan tanpa sebarang penangguhan lanjut malah menyasarkan supaya RUU ini diluluskan sebelum hujung tahun ini.
Semalam, Pengerusi Persidangan Kebangsaan DAP 2026 Chua Kee Chin mengumumkan 1,857 perwakilan mengundi untuk kekal, manakala 242 undi memilih untuk keluar daripada kerajaan Perpaduan.
Sebanyak 2,230 perwakilan hadir di mana sebanyak 2,106 kertas undi dikeluarkan dan dikembalikan, dengan 2,099 undi sah dan tujuh undi lagi rosak.
Foto FB Gobind Singh Deo
Nnnn
