Korea Utara kecam tindakan AS, Korea Selatan

SEOUL – Tindakan Amerika Syarikat (AS) dan Korea Selatan yang bakal mengadakan latihan ketenteraan bersama mendapat kecaman Korea Utara yang  memberi amaran akan mengambil tindakan balas yang lebih keras.

Latihan musim panas selama 11 hari itu dijadualkan bermula Isnin depan bagi mempersiapkan AS dan Korea Selatan daripada ancaman nuklear Korea Utara.

Bagaimanapun, Korea Utara menganggap latihan itu sebagai persediaan untuk menceroboh negaranya dan sebagai tanda bantahan, negara itu bertindak melepaskan peluru berpandu balistik ke Laut Jepun baru-baru ini.

Jurucakap Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan, semalam berkata, membalas ancaman dengan tindakan pencegahan di tahap baharu adalah prinsip konsisten negara itu dalam menjamin keselamatan,

Kementerian Luar Korea Utara mendakwa, latihan bersama AS dan Korea Selatan sebenarnya diadakan bagi membuat persediaan perang, bukannya sekadar latihan pertahanan tahunan seperti yang didakwa.

Latihan ‘Ulchi Freedom Shield’ antara AS dan Korea Selatan itu akan membabitkan 18,000 tentera Korea Selatan serta anggota daripada 28,500 kontinjen AS yang ditempatkan di negara berkenaan.

Related posts

Leave a Comment