Rindu suasana iftar di pejabat

PETANG begini teringat iftar di pejabat. Biasanya selepas solat Asar, sebelum sambung tugas, tinjau seketika di kafe Kak Ani, apa juadah hari ini. Sekadar ambil tahu dan bertanya khabar.

Tahun ini merupakan tahun kedua tidak bersama rakan-rakan berbuka puasa di pejabat. Setelah berpuluh tahun berbuka dan bertarawih di pejabat, tahun lepas suasana itu tidak lagi dirasai setelah memilih Skim Pemisah Sukarela (VSS) pada November 2018. Saya adalah antara 708 daripada 1,523 pekerja yang memilih VSS.

Selepas memilih VSS, bagi merasai suasana berbuka beramai-ramai, maka surau dan masjid menjadi pilihan. Tetapi tahun ini dua-dua melepas. Utusan sudah gulung tikar, bangunan terbiar kosong. Masjid dan surau juga ‘ditutup’ untuk iftar, solat berjemaah akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi memerangi Covid-19.

Utusan ditutup sebelum sempat menyambut Ramadan 1441. Maknanya 2019 atau 1440 adalah Ramadan terakhir sebelum Utusan Melayu gulung tikar pada 9 Oktober 2019. Jika Utusan masih ada, tidak pasti pula bagaimana perancangannya sewaktu berbuka ketika penguatkuasaan PKP ini.

Iftar boleh diadakan dengan penjarakan sosial. Kawasan kafe atau kantin Kak Ani luas, tidak ada masalah, jarak satu meter.

Apa pun menyelak kembali suasana iftar, syukur Alhamdulillah, Utusan tidak pernah lokek memberi makanan mengikut kemampuannya (bajet) bagi memudahkan pekerja berbuka dan bersahur. Bagi yang di luar ibu pejabat, jika masih bekerja waktu berbuka, maksudnya di cawangan, ada elaun.

Begitulah keprihatinan Utusan Melayu terhadap pekerja.

Seronoknya berkumpul satu pejabat berbuka beramai-ramai. Macam-macam ragam. Ada yang ambil minuman dua tiga cawan menyebabkan cawan tak cukup. Apa tidaknya air suam, air panas, air sejuk. Tapi semua itu menceriakan suasana.

Masih dalam ingatan ketika di Kuala Lumpur, pada peringkat awal bertugas di bangunan Jalan Lima, off Jalan Chan Sow Lin, nasi bungkus dan air dibekalkan. Itulah pilihan yang ada atau keluar beli makanan.

Begitu juga makanan untuk sahur bagi yang pulang lewat, selepas tengah malam. Kadang-kadang, bungkusan makanan terlebih sama ada ramai yang balik awal atau tidak mengambilnya. Bagi mengelakkan pembaziran, mereka yang terakhir meninggalkan pejabat akan membawa pulang bungkusan itu.

Tidak lama selepas nasi bungkus, makan secar buffet. Lokasinya di tapak kilang lama, bersebelahan surau. Bagi menampung jumlah kakitangan yang ramai,  khemah juga dipasang di luar. Maka lebih selesa makan secara buffet. Makanan lebih sedap apabila ada pihak luar yang sudi menjadi penaja.

Banyak syarikat korporat, badan bukan kerajaan malahan individu yang menaja majlis berbuka puasa itu. Kadang-kadang terpaksa ditolak kerana jadual sudah penuh, masalah logistik atau tarikh yang diminta tidak dapat dipenuhi. Begitulah rezeki untuk pekerja Utusan sama ada ketika di bangunan lama atau baharu.

Suasana berbuka puasa lebih selesa apabila berpindah ke bangunan baharu pada Jun 2013. Lokasinya di kafe Utusan yang lebih luas di samping pemasangan khemah tambahan. Ada ketikanya dewan besar dan lobi digunakan jika melibatkan acara lebih besar dan kehadiran lebih ramai.

Contohnya berbuka puasa bersama Muhyiddin Yassin, ketika itu sebagai Timbalan Perdana Menteri, dan majlis Nuzul Quran bersama anak yatim.

Penajaan iftar mula ‘terganggu’ pada 2016 dan seterusnya apabila polisi syarikat ‘tidak menerima hadiah’  walaupun penyumbang amat berbesar hati untuk memberi makan berbuka yang amat besar ganjarannya. Ketika itu timbul kekeliruan mengenai polisi ini. Ada penaja tertentu diteruskan dan ada yang terpaksa menarik diri.

Tahun 2018, apabila penajaan berkurang dan syarikat terpaksa pula berjimat, pelbagai pihak dalam Utusan berusaha bagi mengisi kekosongan penajaan serta mengurangkan beban syarikat. Kerjasama kakitangan membantu majlis berbuka puasa berjalan seperti biasa.

Kadang-kadang ada juga yang menghantar nasi bungkus dan selamatlah bajet pada hari berkenaan. Apa yang penting, pekerja tidak perlu keluar mencari juadah. Duduk di pejabat dan berbuka.

Moreh selepas solat Tarawih ditaja oleh Surau Al Huda Utusan Melayu serta jemaah yang menyumbang.

Masih teringat pada 2018, Koperasi Utusan membuka gelanggang sebagai penaja berbuka. Terima kasih Koperasi Utusan. Entah apa cerita koperasi selepas Utusan gulung tikar…

SELAMAT BERBUKA.

Related posts

Leave a Comment