Satu digit enam hari di Thailand

HARI keenam berturut-turut, THAILAND melaporkan kes satu digit apabila kes baharu Covid-19 hari ini enam dan kematian sifar, menjadikan jumlah kumulatif jangkitan itu di seluruh negara setakat ini ialah 2,966 kes dengan 54 kematian.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi Covid-19 (CCSA) Thaweesilp Wissanuyothin berkata tiga daripada kes baharu dikesan di pulau peranginan Phuket.

Dua kes di fasiliti kuarantin negara membabitkan rakyat Thailand yang pulang dari Jepun dan India dan satu lagi kes di Bangkok, yang merupakan kontak rapat pesakit disahkan dijangkiti virus itu sebelum ini.

Setakat ini, 39 dari 77 wilayah tidak melaporkan sebarang kes bagi tempoh 28 hari atau lebih.

Daripada hampir 3,000 kes, Bangkok mencatatkan kes tertinggi iaitu 1,524 diikuti Phuket (220), Nonthaburi (157), Samut Prakan (118) dan Yala (114).

Phuket mempunyai kadar jangkitan tertinggi berdasarkan jumlah penduduk.

Mulai esok, enam jenis perniagaan dan venue di seluruh negara akan dibuka semula termasuk pasar, tempat makan di luar pusat beli-belah, perniagaan borong dan runcit, taman dan fasiliti sukan luar (bukan untuk sukan berpasukan), kedai gunting dan salun rambut (terhad kepada memotong, mencuci dan mengering) serta dandanan dan hotel haiwan peliharaan.

Tempoh darurat di Thailand dilanjutkan sehingga 31 Mei.

10,843 KES DI INDONESIA

INDONESIA pula mencatatkan 31 lagi kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan angka korban akibat Covid-19 di republik itu kini meningkat kepada 831 orang.

Jurucakap Pemerintah Indonesia berkenaan Covid-19 Achmad Yurianto berkata kes positif virus itu juga meningkat kepada 10,843 kes, iaitu tambahan 292 lagi kes baharu dalam tempoh 24 jam.

“Ketika ini, sebanyak 22,545 pesakit masih lagi berada dalam pengawasan virus itu,” katanya.

Provinsi Jakarta mencatatkan jumlah kematian tertinggi iaitu 392 kes diikuti Jawa Timur (106), Jawa Tengah (84) dan selebihnya di wilayah-wilayah lain di Indonesia.

KES DI FILIPINA 8,928

Sementara itu, Jabatan Kesihatan FILIPINA mengesahkan 156 kes baharu menjadikan jumlah keseluruhan kes 8,928 manakala 24 kematian baharu menjadikan 603 kes.

Sebanyak 40 kes pulih menjadikan 1,124 sembuh.

Di BRUNEI DARUSSALAM, jumlah kes kekal 138 apabila tiada kes baharu dilaporkan manakala dua kes pulih menjadikan kes sembuh 126.

Setakat ini, 11 pesakit masih dirawat di Pusat Pengasingan Kebangsaan di mana dua dalam keadaan kritikal.

17,548 KES DI SINGAPURA

SINGAPURA pula mengesahkan 447 lagi kes baharu dengan hanya empat kes melibatkan warga Singapura atau penduduk tetap. Jumlah keseluruhan 17,548.

Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) dalam satu kenyatan menyatakan majoriti besar kes baharu melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama pekerja.

Dalam data penuh yang dikeluarkan Jumaat, MOH berkata, kluster berkaitan SingPost Center di Eunos Road kini ditutup apabila tiada lagi kes baharu yang berkaitan dengannya dalam tempoh inkubasi dua minggu.

Tujuh kluster baharu dikenalpasti di mana satu daripadanya ‘Tuas South Incineration Plant’ yang kini mempunyai lapan kes yang disahkan.

Related posts

Leave a Comment